Firma perkapalan Indonesia dapat kontrak bina kapal tentera laut UAE bernilai AS$408.32 juta | DagangNews Skip to main content

Firma perkapalan Indonesia dapat kontrak bina kapal tentera laut UAE bernilai AS$408.32 juta

Majlis menandatangani kerjasama projek kapal MSS antara PT PAL Indonesia dan SDF UAE.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 27 Feb - Industri pertahanan negara jiran, Indonesia terus melangkah ke hadapan apabila mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam pembinaan kapal serantau.

 

Firma perkapalan negara itu, PT PAL Indonesia telah dianugerahkan kontrak bernilai AS$408.32 juta daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membina kapal pelbagai misi (MSS).

 

Kontrak tersebut dimeterai wakil kedua-dua pihak pada pameran pertahanan IDEX 2023  (International Defense Exhibition & Conference)  di Abu Dhabi yang berlangsung minggu lalu.

 

PT PAL Indonesia juga menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan firma Marakeb Technologies LLC dari UAE dalam bidang sistem persenjataan bagi projek kapal MSS ini.

 

Kerjasama ini tidak hanya memberi fokus dalam integrasi sistem pengurusan tempur kapal tetapi juga melibatkan bidang-bidang kejuruteraan lain.

 

Dengan terbentuknya kerjasama ini ia akan memperkuat projek-projek strategik seterusnya di wilayah tersebut.

 

Kapal MSS sepanjang 163 meter ini akan dibina berdasarkan rekaan kapal pendarat logistik (LPD) kelas Makassar yang telah dibangunkan oleh PT PAL Indonesia.


 

indon
Kapal MSS UAE akan dibina berasaskan LPD kelas Makassar.

 

 

Mengikut kontrak, program pembinaan ini akan bermula tahun hadapan di limbungan PT PAL di Surabaya dan diserahkan kepada tentera laut UAE dalam tempoh lima hingga enam tahun.

 

Sebelum ini, kontrak pembinaan kapal MSS antara PT PAL Indonesia dan UAE  telah diumumkan pada Julai tahun lalu tetapi tidak dinyatakan kos sebenar.

 

Bagi PT PAL Indonesia, memenangi kontrak daripada UAE sangat penting sejajar dengan perancangan syarikat untuk menembusi pasaran global.

 

Dengan pemilihan ini juga telah meletakkan PT PAL Indonesia pada landasan tepat bagi meneroka pasaran lain di rantau Timur Tengah dan Afrika.

 

Sepertimana lazim dalam sebarang perolehan pertahanan, PT PAL Indonesia juga telah memberikan komitmen untuk sama-sama menyumbang dalam industri marin UAE.

 

Pencapaian ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan bagi sebuah negara dari Asia Tenggara kerana saingan dalam industri pembinaan kapal sengit.

 

Indonesia berjaya menguasai teknologi kejuruteraan marin apabila membina LPD kelas Makassar berasaskan kapal KRI Dalpele yang dibina di Korea Selatan.


 

indon
Kejayaan PT PAL Indonesia menembusi pasaran antarabangsa perlu membuka mata pihak industri pertahanan sama di Malaysia.

 

 

Kemampuan PT PAL Indonesia juga bukan calang-calang apabila terlibat secara langsung dalam program pembinaan kapal selam tentera laut republik itu.

 

Firma itu ketika ini sedang memberi fokus pada projek nasional iaitu pembinaan dua buah frigat untuk tentera laut Indonesia berasaskan kapal perang Arrowhead 140 buatan United Kingdom.

 

UAE yang mempunyai sebuah angkatan laut kecil berkekuatan kira-kira 3,000 anggota dengan sembilan buah kapal korvet dan 34 bot peronda giat melaksanakan pemodenan.

 

Negara itu juga bakal menerima empat buah kapal ronda pesisir (OPV) menerusi program antara syarikat Abu Dhabi Shipbuilding dengan kerjasama teknologi ST Engineering Company dari Singapura.

 

 

UAE
OPV kelas Falaj 3

 

 

OPV kelas Falaj 3 ini dibina berasaskan kapal peronda kelas Fearless milik Singapura.

 

Kapal LPD kelas Makassar seberat 11,300 tan dengan panjang 122 meter boleh membawa lancang pendarat, 14 buah kereta perisai dan enam buah helikopter.

 

Ia juga boleh menampung 400 anggota tentera selain dijadikan hospital terapung bagi membantu misi kemanusiaan.

 

Sehingga kini sebanyak 12 buah kapal jenis ini telah dibina termasuk tujuh milik Indonesia manakala selebihnya digunakan negara lain.

 

PT PAL Indonesia telah menawarkan rekabentuk LPD ini kepada Kementerian Pertahanan UAE sejak 2020 yang kemudian turut bersaing dengan beberapa flrma antarabangsa.

 

Bagaimana pun, kapal MSS UAE lebih panjang berbanding versi eksport yang dibina untuk tentera laut Filipina.

 

Difahamkan, ini juga adalah model sama yang telah ditawarkan kepada Malaysia menerusi kerjasama PT PAL Indonesia dengan Boustead Naval Shipyard yang dimeterai pada tahun 2016.

 

 

indon
Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto (tengah) semasa melakukan kunjungan booth PT PAL Indonesia pada IDEX 2023.

 

 

Sama seperti lain-lain perusahaan pertahanan di Indonesia, PT PAL Indonesia bermula sederhana dengan tumpuan pada projek perkapalan serta industri dalam negara.

 

Dekad demi dekad ia telah mempamerkan peningkatan dengan kemajuan besar apabila menjadi pembina utama kapal-kapal perang republik itu.

 

Kesungguhan PT PAL Indonesia ini perlu dipelajari pihak industri pertahanan di Malaysia jika ingin melangkah lebih jauh selain sokongan daripada kerajaan yang konsisten. - DagangNews.com