KUALA LUMPUR 21 Jun - Gergasi pertahanan Singapura, ST Engineering berjaya memperoleh kontrak tempahan peluru dari Eropah berjumlah lebih S$100 juta atau kira-kira RM348 juta.
Nilai kontrak tersebut adalah sepanjang tiga bulan iaitu antara April dan awal Jun.
Sebahagian besar pesanan kontrak ini adalah untuk peluru artileri kaliber 155 milimeter (mm) dan peluru 40mm.
Peluru 40mm digunakan pada senjata seperti pelancar grenad dan pelancar grenad berganda.
Persenjataan ini turut dipasang pada kenderaan perisai dan kenderaan pembawa anggota infantri.
Kedua-dua peluru ini adalah mengikut standard Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu satu bentuk piawaian teknikal yang digunakan oleh majoriti angkatan tentera negara Eropah.
Kelengkapan ketenteraan atau peluru Standard NATO juga digunakan negara-negara pro barat seperti Malaysia.
Berikutan konflik di Ukraine, negara-negara Eropah giat melakukan pembelian termasuk meningkatkan jumlah bahan letupan seperti peluru dan bom.
Pada masa sama, NATO yang disertai 32 negara anggota juga dikatakan bersedia untuk mengambil alih penyelarasan penghantaran bantuan ketenteraan ke Ukraine dari Amerika Syarikat.
Konflik di Ukraine juga menyaksikan sistem artileri khususnya meriam 155mm diguna secara meluas selain menjadi persenjataan yang efektif bagi tentera Ukraine.
Sistem peluru artileri 155mm buatan ST Engineering mempunyai jangkauan tembakan lebih tinggi dan impak letupan kuat.
Ia direka untuk meriam howitzer 155mm dengan laras 39 dan 52 kaliber.
Bagi peluru 40mm, ST Engineering mempunyai lebih daripada 58 varian dengan ciri-ciri khusus mengikut kesesuaian negara pengguna.
Kontrak itu bukan sahaja menyerlahkan kelebihan daya saing ST Engineering dalam industri pertahanan global khususnya segmen peluru tetapi juga menekankan peningkatan keyakinan pengguna.
Kejayaan ini adalah hasil daripada tender kompetitif selain menandakan perkembangan penting ST Engineering dalam segmen peluru.
Ini kerana untuk menembusi pasaran Eropah bukan mudah khususnya bagi syarikat Asia selain persaingan yang lebih besar pada pentas global.
Pesaing ST Engineering dalam industri pertahanan global seperti Hindustan Aeronautics, Wistron, Elbit Systems dan BAE Systems.
ST Engineering yang ditubuhkan pada Disember 1997 kini menggabungkan empat entiti utama iaitu syarikat ST Aerospace, ST Electronics, ST Automative dan ST Marine. - DagangNews.com