Fitch ‘potong’ separuh ramalan KDNK 2021 Malaysia | DagangNews Skip to main content

Fitch ‘potong’ separuh ramalan KDNK 2021 Malaysia

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Ekonomi negara yang sepatutnya berada dalam fasa pengukuhan sekali lagi dijangka bergantung kepada sektor eksport sebagai pemacu utama pada tahun ini. 

 

Malah, unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 10% dibuat oleh Fitch Solutions disemak turun lebih separuh mata peratusan kepada 4.9%. 

 

Puncanya, perintah berkurung atau perintah kawalan pergerakan (PKP) diramalkan membuka semula ‘pintu’ peningkatan pengangguran sekali gus menurunkan permintaan domestik secara ketara. 

 

Diselitkan bersama unjuran yang dibuat oleh firma penarafan antarabangsa itu, sektor import negara dijangka merudum bagi tahun ini dengan perbelanjaan kerajaan dilihat tidak mendatangkan sokongan yang bermakna.   

 

“Kami menjangkakan perintah berkurung (PKP) akan dilanjutkan dan tidak menolak semak turun lebih lanjut terhadap ramalan pertumbuhan dalam beberapa bulan akan datang,” ujar firma itu. 

 

Baca : Ekonomi 2021 : OK atau KO?

 

Unjuran yang disemak turun itu dibuat setelah Fitch Solutions mengambil kira prospek fiskal dan monetari Malaysia setelah kerajaan melaksanakan perintah berkurung untuk mengekang gelombang ketiga jangkitan COVID-19.

 

Pada minggu lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan prestasi ekonomi Malaysia yang menguncup 5.6%, melebihi daripada jangkaan dibuat kerajaan iaitu sekitar 5.5%. 

 

Penularan semula jangkitan COVID-19 sehingga menyaksikan purata kes jangkitan harian Malaysia mencecah angka 3,000 telah merencatkan momentum pertumbuhan negara. 

 

Fitch Solutions turut melihat ekonomi Malaysia pada tahun lalu berprestasi lebih teruk berbanding ramalannya, pertumbuhan -4.9%. 

 

Baca : KDNK 2020 terburuk sejak 1998, menguncup 5.6% 

 

Harapan satu lagi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara iaitu sektor pelancongan juga ‘tergelincir’.

 

“Tambahan pula, Malaysia dilihat ketinggalan ke belakang dari segi pengedaran vaksin dengan Channels New Asia melaporkan pada 1 Februari lalu baharu negara ini hanya akan menerima pengedaran 1 juta vaksin pertama pada 26 Februari apabila negara lain seperti Singapura dan Indonesia telah melancarkan vaksinasi pada Januari,” tambah firma itu. - DagangNews.com