Fitch Ratings : Bank digital di Asia Pasifik berdepan cabaran kenaikan kadar faedah | DagangNews Skip to main content

Fitch Ratings : Bank digital di Asia Pasifik berdepan cabaran kenaikan kadar faedah

KUALA LUMPUR 8 Sept - Kebanyakan bank digital di rantau Asia Pasifik akan bergelut untuk mencapai daya maju kewangan disebabkan kenaikan kadar faedah, pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan persekitaran pembiayaan yang ketat.

 

Menurut Fitch Ratings, kelembapan ekonomi turut menjejaskan pelanggan sasaran bank secara tidak seimbang, sekali gus meningkatkan risiko kualiti aset.

 

Ia menjangkakan kitaran pengetatan dasar monetari semasa secara amnya menyokong profil kredit bank di Asia, sehingga tahap kadar faedah yang lebih tinggi menaikkan margin faedah bersih (NIM).

 

"Bagaimanapun, penambahbaikan margin bagi peserta bank digital ini berkemungkinan dikekang oleh kuasa harga yang lebih terhad, kerana mereka berusaha untuk meningkatkan perniagaan deposit dan pinjaman untuk mencapai skala dan keuntungan.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan NIM bagi peserta ini akan dilebih dipengaruhi oleh kecenderungan risiko," katanya dalam kenyataan seperti dilapor The Edge hari ini.

 

Secara dasarnya, agensi penarafan itu percaya peluang terbaik bagi bank digital di Asia Pasifik adalah lebih besar dalam pasaran populasi yang kurang mendapat perkhidmatan perbankan.

 

"Namun, pemberian pinjaman kepada sektor yang kurang mendapat perkhidmatan membawa risiko yang lebih tinggi, kerana pendapatan mereka yang lebih rendah dan sejarah kredit yang terhad menimbulkan cabaran utama bagi bank digital yang cuba memecahkan pasaran.

 

"Dalam hal ini, kami menjangkakan kos kredit akan meningkat lebih ketara bagi segmen ini berikutan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi," jelasnya. - DagangNews.com