Flex tawar 3,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia | DagangNews Skip to main content

Flex tawar 3,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia

Flex

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Syarikat pengeluar dan penyedia rangkaian teknologi terbesar dunia, Flex menyasarkan untuk menambah seramai 3,500 peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

Flex berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk menambah sebanyak 20% jumlah kakitangannya di Malaysia dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Ketika negara berusaha untuk mengekalkan momentum pemulihan ekonominya, Flex mahu turut serta bersama-sama dalam usaha tersebut dengan menyediakan peluang pekerjaan. 

 

Flex

 

"Kebanyakan produk yang Flex hasilkan adalah produk-produk kritikal (essential product) dan pandemik ini telah menguji untuk kami meningkatkan lagi keupayaan pengeluaran kami. Hal ini meletakkan Flex di kedudukan yang sangat baik untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaaan bagi rakyat Malaysia," kata Flex dalam satu kenyataan hari ini.

Flex merupakan salah satu majikan terbesar di Malaysia dengan lebih 18,000 kakitangan di 12 fasiliti yang terletak di Johor, Pulau Pinang dan Selangor.

Syarikat multinasional yang dikenali dengan reka bentuk dan pembuatan itu berhasrat untuk menambah tenaga kerjanya dengan mengambil lebih ramai jurutera, juruteknik, pemeriksa kawalan kualiti, kakitangan di bahagian pembelian, pentadbir program dan operator pengeluaran dalam masa terdekat.

 

Flex

 

Bersempena dengan ulang tahun ke-30 penubuhannya di Malaysia pada tahun ini, Flex telah merekrut lebih 9,000 kakitangan daripada pelbagai jawatan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2020. 

Daripada jumlah itu, lebih daripada 6,000 pekerja baharu telah dipilih untuk berkhidmat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun penurunan ekonomi mengakibatkan banyak pekerja diberhentikan dan kadar pengangguran meningkat kepada 5.3% pada Mei 2020.

Selain itu juga, Flex turut menyasarkan untuk meningkatkan bilangan kakitangan Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak dua kali ganda berbanding lebih 130 orang jumlah OKU yang berkerja bersama syarikat berkenaan.

 

Flex

 

"Flex percaya kakitangan OKU mereka boleh mempamerkan prestasi baik dan produktiviti tinggi setaraf dengan kakitangan bukan OKU dan mereka boleh meningkat maju dengan bakat serta kemahiran baharu. 

"Atas usaha-usaha tersebut, Flex diiktiraf sebagai ‘Majikan Mesra OKU’ oleh Kementerian Sumber Manusia pada April 2019," tambah Flex lagi. - DagangNews.com