Produk minuman Nestle tidak terjejas dengan cukai gula semasa, kata CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Produk minuman Nestle tidak terjejas dengan cukai gula semasa, kata CIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - Produk minuman Nestle (Malaysia) Bhd yang membentuk sehingga 40% daripada jumlah jualan keseluruhan kumpulan itu dijangka tidak terjejas dengan had cukai gula semasa. 

 

Produk minumannya terdiri daripada minuman pracampuran dan sedia untuk diminum (RTD).

 

CIMB Securities berkata, ia adalah hasil daripada pelaburan berterusan syarikat dalam inovasi produk, memberi tumpuan kepada meningkatkan kandungan nutrisi dan menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat.

 

“Kami menganggarkan 30% hingga 40% daripada jualan Nestle diperoleh daripada segmen minumannya.

 

"Nestle akan meneruskan komitmen jangka panjang proaktifnya bagi meningkatkan kandungan nutrisi produknya, disokong oleh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman.

 

"Hasilnya, kumpulan itu yakin dengan keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan yang berpotensi dalam ambang cukai gula atau pengenalan cukai minuman bergula baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Menurut laporan kewangan FY23 Nestle, 32% daripada portfolio produknya, terdiri daripada 41 produk, telah menerima pensijilan Logo Pilihan Lebih Sihat (HCL) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

"Kami mendapati daripada Nestle bahawa produk yang disahkan sebagai HCL adalah produk yang telah pun dikecualikan daripada cukai gula," katanya.

 

Minuman RTD Nestle dengan lebih daripada 5g gula atau pemanis berasaskan gula bagi setiap 100ml, serta minuman buah-buahan atau sayur-sayuran yang mengandungi lebih daripada 12g gula atau pemanis berasaskan gula bagi setiap 100ml, dikenakan cukai sebanyak 50 sen seliter.

 

Selain itu, minuman pracampuran dikenakan duti eksais rata sebanyak 47 sen setiap 100g jika kandungan gulanya melebihi 33.3g setiap 100g.

 

CIMB Securities berkata, mereka belum melaraskan anggaran pendapatan sesaham untuk syarikat itu FY24 hingga FY26.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM122.80 sesaham," katanya. - DagangNews.com