Penerimaan graduan TVET diyakini perkasakan perkhidmatan awam - MBOT | DagangNews Skip to main content

Penerimaan graduan TVET diyakini perkasakan perkhidmatan awam - MBOT

Prof. Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 20 Sept – Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) mengalu-alukan penerimaan sektor awam terhadap graduan-graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti yang diumumkan dalam Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baru-baru ini.

 

Ini termasuk penyenaraian kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) sebagai kelayakan yang sah untuk skim perkhidmatan tertentu.

 

Penyenaraian ini memberi peluang yang lebih luas kepada golongan berkemahiran, khususnya graduan TVET, untuk berkhidmat dalam sektor awam.

 

Ia juga membuktikan bahawa sektor awam kini telah berkembang pesat dengan terdapat banyak keperluan untuk mengisi jawatan-jawatan dengan bakat-bakat berkemahiran tinggi khususnya yang mempunyai kepakaran teknologi dan teknikal.

 

Presiden MBOT, Prof. Datuk Ts. Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, langkah ini akan membantu sektor awam untuk terus bertambah maju dan cekap dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

 

"Menerusi langkah ini, MBOT melihat potensi besar dalam meningkatkan penyertaan graduan TVET di sektor awam dan mengiktiraf kemahiran teknikal sebagai aset penting negara.”

 

Sebanyak 26 skim perkhidmatan berkelayakan SPM diperluaskan kelayakan SVM manakala 11 skim perkhidmatan yang sebelum ini memerlukan Diploma atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kini telah diperluaskan untuk menerima calon yang memiliki DKM atau DLKM.

 

Antara skim yang terlibat adalah seperti Pembantu Pemeriksa Kilang dan Jentera, Juruaudio Visual, Penolong Pegawai Laut dan Pemeriksa Kereta Motor.

 

MBOT percaya penetapan kelayakan ini dilakukan dengan teliti, mengambil kira kesesuaian dan kehendak bidang serta skop tugas yang berkaitan dalam setiap skim perkhidmatan. Ini bagi memastikan bahawa graduan TVET dapat menyumbang secara efektif dalam sektor awam, selari dengan keperluan dan perkembangan industri.

 

Walau bagaimanapun, MBOT juga berharap agar Kerajaan meneruskan inisiatif ini dengan menjalankan kajian-kajian dari semasa ke semasa untuk memperluaskan lagi penerimaan graduan-graduan TVET dalam sektor awam.

 

Selain itu, MBOT berpandangan masih terdapat beberapa persijilan TVET dan skim perkhidmatan yang perlu dikaji untuk tujuan ini.

 

"Ia penting bagi memastikan penerimaan graduan TVET dalam sektor awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan lebih inklusif, sejajar dengan dasar negara serta cabaran masa hadapan," kata MBOT. - DagangNews.com