FMM gesa kerajaan beralih ke fasa kedua PKP | DagangNews Skip to main content

FMM gesa kerajaan beralih ke fasa kedua PKP

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai

 

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) menggesa supaya kerajaan terus membantu ekonomi dengan tambahan RM30 bilion terhadap pakej rangsangan kerajaan bernilai RM200 bilion. 

 

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, suntikan tersebut dapat membantu perniagaan mengekalkan pekerjaan dan operasi sepanjang tempoh mencabar ini yang mana pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) secara penuh boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi tahun ini. 

 

Ini kerana katanya, PKP penuh fasa pertama yang dilanjutkan sehingga 28 Jun ini secara tidak langsung menjejaskan industri dan mempengaruhi daya saing perniagaan terutama dalam kalangan sektor tidak penting yang tidak dibenarkan beroperasi sejak empat minggu lalu apabila PKP dilaksanakan 1 Jun lalu.

 

"Bagaimanapun, sektor penting juga mengalami kesukaran memandangkan kapasiti mereka berkurangan dan operasi lain juga terjejas termasuk rantaian bekalan yang tidak diberi kebenaran beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

 

"Secara keseluruhan, industri yang terdiri daripada perniagaan penting dan tidak penting berada dalam kedudukan  tidak stabil dan rapuh dengan pendapatan dan aliran tunai terjejas teruk," katanya dalam kenyataan.

 

Bank Dunia dalam laporan Malaysia Economic Monitor baru-baru ini, mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 4.5 peratus bagi 2021, lebih rendah berbanding unjuran sebelumnya, enam peratus setelah mengambil kira penularan wabak COVID-19 yang masih berterusan dan penutupan ekonomi. 

 

 

sekatan jalan raya
PKP penuh menyebabkan industri yang terdiri daripada perniagaan penting dan tidak penting terjejas teruk dan tidak stabil.

 

 

Bagi mengelakkan kesan teruk ke atas perniagaan, beliau meminta supaya kerajaan beralih kepada fasa kedua PKP di bawah Pelan Pemulihan Negara setelah berakhirnya fasa pertama 28 Jun ini, 

 

Ini termasuk memperluaskan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi dan kapasiti tenaga kerja syarikat.

 

FMM, katanya, memohon pertimbangan kerajaan supaya memperluaskan sektor ekonomi dan perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi merangkumi rantaian bekalan dengan meningkatkan kapasiti tenaga kerja kepada 80 peratus.

 

"Selain itu, kami juga meminta kerajaan membenarkan industri pembuatan dalam sektor tidak penting beroperasi yang mempunyai tenaga kerja tidak ramai dan boleh memastikan penjarakan sosial di tempat kerja. 

 

"Ini juga termasuk bagi syarikat yang mempunyai tempahan kontrak eksport supaya beroperasi dengan 50 peratus kapasiti dengan 24 jam seminggu dan juga bagi sektor kritikal seperti besi dan logam serta simen beroperasi dengan 50 peratus kapasiti," jelas beliau.

 

Thian Lai berkata, sektor pembuatan terbukti menjadi pemangkin pemulihan dan sumber utama pertumbuhan ekonomi keseluruhan ketika ini seperti yang ditunjukkan oleh prestasi ekonomi suku pertama dan juga ditunjukkan dalam statistik pembuatan April 2021.

 

"Pada masa sama, keadaan ekonomi luaran bertambah baik dan kita mesti membenarkan aktiviti berkaitan eksport yang lebih tinggi untuk memudahkan pemulihan ekonomi kita sendiri di negara ini," katanya.

 

Namun, beliau berkata, amat menyedihkan apabila industri ini terus muncul sebagai kluster tempat kerja bagi penularan COVID-19.

 

Berdasarkan data oleh Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 398,846 daripada keseluruhan 578,105 kes atau 69 peratus kes COVID-19 yang dicatatkan sehingga 19 Jun adalah kes sporadik iaitu kes yang dikesan dalam masyarakat dan tidak dapat dikaitkan dengan kluster sedia ada.

 

"KKM juga memberi amaran kes sporadik juga masih meningkat dan apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes berkaitan tidak mempunyai simptom," katanya.

 

Menurutnya, dengan wujudnya penularan virus dalam masyarakat, sudah tentu ia menjadi sangat mudah meresapi ke sektor perkilangan khususnya kes tanpa simptom.

 

"Lebih mengecewakan adalah sumber jangkitan tidak dikesan daripada komuniti tetapi kluster tempat kerja dikatakan menjadi punca.

 

"Ini seterusnya diklasifikasikan sebagai kluster tempat kerja oleh pihak berkuasa sekali gus salah faham bahawa tempat kerja adalah sumber utama jangkitan," tambahnya.

 

Beliau berkata, jika diperhatikan bahawa daripada 662, 457 kes positif kumulatif yang dilaporkan pada 14 Jun, hanya 147,040 berasal dari kelompok tempat kerja yang mana 95,156 kes daripada sektor pembuatan. 

 

"Angka rendah 14.36 peratus ini menunjukkan bahawa sektor pembuatan bukanlah sumber utama jangkitan," tegas beliau. - DagangNews.com