foodpanda berwajah baharu, Pau-Pau duta jenama | DagangNews Skip to main content

foodpanda berwajah baharu, Pau-Pau duta jenama

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Jan - Bagi meraikan ulang tahun ke-10 sebagai perintis platform penghantaran makanan dan barangan runcit di Asia, foodpanda memperkenalkan wajah segar untuk jenamanya, Pau-Pau.

 

Menurut syarikat itu, Pau-Pau ialah duta jenama pertama seumpamanya, memperjuangkan pemerkasaan dan kelestarian di seluruh rantau ini. 

 

Jelasnya, identiti Pau-Pau sebagai duta jenama foodpanda akan dihidupkan sepenuhnya, daripada mempunyai bahasa dan ceritanya yang tersendiri, kepada nilai penuh seperti menjaga alam sekitar, pemerkasaan dan kepercayaan dalam menjalani kehidupan mengikut gayanya tersendiri. 

 

"Dengan Pau-Pau, foodpanda mencipta personaliti yang mudah didekati oleh berjuta-juta pengguna di seluruh Asia.

 

"Panda berwarna merah jambu yang telah membuat penampilan pertamanya di Jepun, Taiwan dan Kemboja pada Disember tahun lalu, dilancarkan di Singapura, Malaysia, Thailand, Hong Kong dan Laos sebelum meliputi ke seluruh rangkaian foodpanda. 

 

 

fp

 

 

"Fasa seterusnya, Pau-Pau akan diperkenalkan di Filipina, Myanmar, Pakistan dan Bangladesh," menurut kenyataan tersebut.

 

Menurut kenyataan itu, Pau-Pau akan mengetuai usaha foodpanda ke dalam persekitaran media yang sentiasa berubah dan aktif. 

 

Katanya, dalam memperkenalkan personaliti baharu yang mewakili jenama foodpanda sepenuhnya, foodpanda mengembangkan pemasaran digitalnya untuk melangkaui platform tradisional. 

 

"Para pelanggan akan menemui Pau-Pau di aplikasi LINE dan Instagram sebagai emoji dan stickers untuk komunikasi yang meriah dan kebebasan bersuara. 

 

"Pau-Pau akan dilancarkan secara progresif di semua saluran dan interface foodpanda, daripada aplikasi hinggalah laman sesawang, kepada platform digital dan media sosial, pengaktifan out-of-home dan banyak lagi," katanya.

 

Dalam pada itu, Pengarah Pemasaran foodpanda Malaysia, Bernard Chong berkata, melalui duta jenama tersebut, pihaknya mahu mencipta personaliti yang mudah didekati rakyat Malaysia untuk membentuk hubungan emosi. 

 

"Lebih-lebih lagi apabila foodpanda sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita, kami melihat Pau-Pau berpeluang menjadi inspirasi kepada orang ramai dalam menjalani kehidupan sepenuhnya dengan cara yang tersendiri.

 

“Dengan permulaan dekad baharu bagi foodpanda di Asia, kami teruja untuk para pelanggan kami berjumpa dengan panda yang menyeronokkan dan penuh kasih sayang ini," katanya.

 

Sebagai sebahagian daripada pengumuman ini, foodpanda Malaysia turut bekerjasama dengan Cloakword Studio untuk mencipta karya seni di sekitar jalan di Kuala Lumpur, termasuk Jalan Tun Tan Cheng Lock (Petaling Street) dan Jalan Tun Siew Sin.

 

Karya seni ini adalah cerminan kreativiti artis tentang pengembaraan maskot foodpanda yang baharu diperkenalkan ini. 

 

Ia juga mempamerkan perjalanan Pau-Pau ketika menghantar pesanan ke depan pintu rumah pelanggan, selain daripada memaparkan alam kopitiam Pau-Pau diilhamkan daripada budaya makanan kopitiam di sekitar kawasan tersebut.

 

Ketua Pegawai Kreatif Delivery Hero Asia, Eunha Bhang pula berkata, ketika mencipta Pau-Pau, mereka mahu mempunyai ceritanya yang tersendiri dan pendiriannya untuk sesuatu yang lebih daripada sekadar maskot yang comel.

 

“Pau-Pau merangkumi dan menghidupkan semangat foodpanda dengan membantu komuniti membayangkan semula cara mereka menggunakan perkhidmatan penghantaran, sejurus menambah keceriaan dan keseronokan dalam hidup mereka," katanya.

 

Pau-Pau paling menggemari tiga perkara iaitu pemerkasaan dan menjalani kehidupan mengikut gaya tersendiri, alam sekitar, sebagai juara kelestarian foodpanda dan minat yang mendalam terhadap makanan dan keseronokkan. 

 

Sebagai sebuah perintis platform makanan dan barangan runcit, foodpanda memberi kemudahan kepada para pelanggan dengan memudahkan penghantaran makanan dan barangan runcit dengan cepat, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

 

Sebagai juara kelestarian foodpanda, Pau-Pau merupakan sebahagian daripada agenda hijau foodpanda dalam menyokong inisiatif kelestarian seperti ciri pilihan tanpa kutleri yang sudah ditetapkan, di mana ia menjimatkan penggunaan sebanyak 544 juta helai plastik pada tahun lepas. 

 

Pada Ogos tahun lalu, foodpanda melancarkan program 'Global Sustainable Packaging' dalam usaha menggalakkan peniaga bertukar kepada bebas plastik, pembungkusan berasaskan tumbuhan untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dalam usaha menjadi organisasi neutral karbon.

 

Pengenalan Pau-Pau dibina berdasarkan penjenamaan semula foodpanda yang menyaksikan foodpanda menghidupkan semula wajah dan visual yang segar dengan palet warna yang lebih ceria untuk setiap cirinya. 

 

Ia mesra pengguna, lebih-lebih lagi apabila platform ini berkembang melangkaui penghantaran makanan sahaja. - DagangNews.com