foodpanda Malaysia perkenal Taco Bell | DagangNews Skip to main content

foodpanda Malaysia perkenal Taco Bell

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Orang ramai boleh menikmati hidangan popular Mexico, Taco Bell yang kini boleh didapati di platform foodpanda Malaysia.

 

foodpanda Malaysia bekerjasama  dengan cawangan Taco Bell berbeza untuk menyediakan logistik lebih baik dan memberikan pengalaman makanan terbaik kepada para pelanggan.

 

Pengarah Komersial foodpanda Malaysia, Jay Ar Juan berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang baharu untuk bekerjasama dengan rakan-rakan restoran serta jenama-jenama yang berkongsi minat sama. 

 

“Dengan adanya Taco Bell di foodpanda, kami berharap ini dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk merasai makanan Mexico yang unik dan digemari di seluruh dunia ini dengan penghantaran terus ke rumah. 

 

"Ini boleh dilakukan dengan hanya beberapa sentuhan melalui telefon masing-masing. Selain itu, kami merasakan kerjasama ini sesuai untuk kedua-dua jenama bagi memanfaatkan kekuatan satu sama lain untuk memberikan kegembiraan kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

foodpanda

 

 

Beliau berkata, dengan salah satu piawaian yang paling ketat untuk penghantaran pesanan, Taco Bell sebelum ini mencari platform penghantaran yang boleh memberi mereka jaminan yang diperlukan. 

 

"Dengan pilihan penghantaraan terbaharu untuk Taco Bell yang kini tersedia di foodpanda, para pelanggan sekarang boleh membuat pesanan pelbagai makanan Mexico dengan mudah pada bila-bila masa sahaja, sambil menyuntik semangat jenama #LiveMas #LiveKawKaw setiap hari ke dalam momen-momen makan mereka.

 

"Tambahan lagi, Taco Bell juga telah menyaksikan pertumbuhan yang mantap bagi pelanggan yang memilih ciri penghantaran yang kini ditawarkan oleh foodpanda," katanya.

 

Dalam perkembangan sama, pengendali francais Taco Bell Malaysia, Harris Beh pula berkata, pihaknya menjalin kerjasama baik dengan pasukan foopanda bagi membolehkan berhubung dengan para pelanggan yang memilih menikmati masakan unik berinspirasikan Mexico di rumah masing-masing. 

 

"Kami telah menemui pasukan yang proaktif dan responsif dan juga sering berusaha keras untuk memenuhi piawaian ketat yang telah kami tetapkan untuk rakan kongsi penghantaran kami di seluruh dunia. 

 

"Dalam semangat kerjasama ini, kami sangat terbuka dan saling bantu-membantu dalam mencari penyelesaian dan strategi kepada cabaran unik dalam menyajikan masakan baharu kepada pelanggan-pelanggan yang mungkin merasai Taco Bell buat pertama kali melalui ciri penghantaran,” katanya, 

 

Beberapa makanan yang popular dalam menu yang disediakan di foodpanda, termasuk Crunchy Taco Supreme, Crunchwrap Supreme, Chicken Quesadilla, Grilled Stuft Burrito, Loaded Nachos dan resepi ciptaan Taco Bell tersendiri, Bell Rice Bowl digandingkan dengan sambal yang dicipta khas untuk pasaran Malaysia.

 

Buat masa ini, Taco Bell Malaysia mempunyai restoran di Cyberjaya, Bandar Sri Permaisuri, Tropicana Gardens Mall dan Setiawangsa. 

 

Nantikan restoran yang seterusnya di Wangsa Maju dan pembukaan menarik yang lain tahun ini. - DagangNews.com