FPSO Maria Quitéria bakal berlayar ke Brazil pada suku kedua 2024 bagi kegunaan di medan Jubarte | DagangNews Skip to main content

FPSO Maria Quitéria bakal berlayar ke Brazil pada suku kedua 2024 bagi kegunaan di medan Jubarte

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - Kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Maria Quitéria dijadual berlayar ke Brazil pada suku kedua tahun ini dan akan digunakan di medan Jubarte yang terletak di utara Lembangan Campos, luar pesisir negara itu.

 

FPSO itu akan digunakan di medan Jubarte sebagai sebahagian daripada Projek Bersepadu Parque das Baleias di luar pesisir Brazil untuk Petróleo Brasileiro S.A. di bawah kontrak pajakan dan kendalian selama 22 tahun setengah dengan nilai kontrak sehingga AS$5.3 bilion.

 

Yinson Production telah dianugerahkan projek FPSO Maria Quitéria oleh Petrobras pada November 2021 dan kerja-kerja naik taraf dimulakan pada 25 Januari 2022.

 

"Projek itu berlangsung mengikut jadual, dengan semua modul bahagian atas di atas kapal sudah disepadukan dan pentauliahan sedang dijalankan.

 

"FPSO Maria Quitéria ialah FPSO ketiga Yinson Production yang digunakan di Brazil, berikutan FPSO Anna Nery, yang telah beroperasi untuk Petrobras sejak Mei 2023 dan FPSO Atlanta yang menjangkakan minyak pertama pada musim panas tahun ini dan akan beroperasi untuk Enauta Energia S.A.," katanya dalam satu Yinson dalam satu kenyataan selepas majlis penamaan FPSO itu di Limbungan Cosco Shipping Heavy Industry (Shanghai) di China pada 3 April 2024.

 

Majlis itu disempurnakan oleh penaja utama, Lim Chern Fang selain turut dihadiri  Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production, Flemming Greengaard; Pengurus Projek FPSO Maria Quiteria, Noel Denton; Pengurus Kontrak Petroleum Brazil S.A. (Petrobras), James Pace Stephen dan Pengurus Besar Cosco Shipping Heavy Industry, Jiang Jijiang.

 

FPSO Maria Quitéria merupakan projek menaik taraf dengan kapasiti pengeluaran 100,000 tong minyak sehari dan kapasiti penyimpanan 1 juta tong dengan ia akan menjadi FPSO pertama Yinson Production yang mengendalikan Penjana Wap Pemulihan Haba (HRSG) sebagai sebahagian daripada sistem kuasa kitaran gabungannya.

 

HRSG merupakan antara sebahagian teknologi yang digunakan di seluruh armada Yinson dan mereka sentiasa berusaha mengurangkan kadar pelepasan karbon serta menjadi peneraju dalam mencapai matlamat sifar bersih dalam industri FPSO.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production, Flemming Greengaard berkata, pihaknya berbesar hati untuk meraikan penamaan kapal terbaharu itu kerana FPSO Maria Quitéria menggabungkan teknologi terkini untuk mengurangkan pelepasan dan meningkatkan kecekapan, menetapkan standard baharu.

 

"Teknologi ini digabungkan dengan keupayaan kami menyiapkan aset tepat pada masanya mempamerkan keupayaan reka bentuk inovatif kami dan kecemerlangan pelaksanaan projek itu sekali lagi.

 

"Kami berterima kasih kepada Petrobras dan semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam projek ini atas kepercayaan dan sokongan untuk mencapai minyak pertama tepat pada masanya selain menyumbang ke arah landskap tenaga Brazil," katanya.

 

Sementara itu, Pengurus Projek, Noel Denton berkata, kami mengekalkan sifar insiden kehilangan masa setakat ini dan ia mencerminkan komitmen mereka terhadap piawaian HSE (kesihatan keselamatan dan alam sekitar) selain bersedia untuk perjalanan ke Brazil.

 

"Kami sangat teruja untuk meneruskan projek ini dan tetap fokus untuk mencapai minyak pertama seperti yang dijadualkan," katanya. - DagangNews.com