FPV UPM beri rawatan kesihatan percuma kepada haiwan peliharaan kakitangan B40 | DagangNews Skip to main content

FPV UPM beri rawatan kesihatan percuma kepada haiwan peliharaan kakitangan B40

Siti Nur Ain Feisal bersama kucing kesayangan yang menerima rawatan kesihatan percuma daripada FPV UPM.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Sept - Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) Universiti Putra Malaysia (UPM) menyambut Hari Kebangsaan ke-65 dengan menganjurkan program rawatan kepada haiwan peliharaan staf UPM yang terdiri daripada golongan B40 menggunakan Tabung Kebajikan Haiwan, baru-baru ini.

 

FPV membantu staf UPM yang tidak berkemampuan untuk menerima bantuan bagi merawat haiwan kesayangan mereka di hospital veterinar UPM dengan sumbangan tabung yang dikumpulkan.

 

Dekan FPV, Prof. Dr. Abdul Rahman Omar berkata, sambutan kemerdekaan kali ini sangat bermakna kerana FPV menganjurkan program membantu staf UPM dari golongan B40 merawat haiwan kesayangan.

 

“Dengan itu, kami dapat mempromosikan Tabung Kebajikan Haiwan kepada semua orang untuk membantu pemilik haiwan kesayangan ini menjaga kebajikan haiwan mereka dengan memberi pemeriksaan kesihatan secara percuma.

 

“Tabung Kebajikan Haiwan ini adalah kerjasama FPV dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen UPM yang telah berlangsung semenjak awal tahun 2022 telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Seramai 24 orang menerima pakej kesihatan haiwan kesayangan secara percuma. Antara rawatan yang diberikan, termasuk vaksin, ubat cacing, vitamin dan ubat kutu.

 

Pegawai Eksekutif Alumni UPM, Siti Nur Ain Feisal berkata, pakej kesihatan percuma yang diberikan FPV kepadanya sangat meringankan beban baginya yang membela 8 ekor kucing jalanan untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

 

 

upm

 

 

upm

 

 

“Kami golongan B40 mampu memelihara kucing jalanan namun rawatan kesihatan tidak mampu diberikan kerana kosnya agak mahal. Saya sangat bersyukur kerana kucing saya mendapat rawatan untuk melihat prestasi kesihatannya.

 

 

upm
Faizal Tahir (tiga dari kiri) bersama Prof. Dr. Abdul Rahman Omar (tengah) ketika program sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.

 

 

upm
Kakitangan FPV UPM bergambar ketika program rawatan percuma kepada haiwan peliharaan.

 

“Program seperti ini julung kali dianjurkan dan ia membantu kami yang memelihara haiwan kesayangan merawat kucing kesayangan buat pertama kali secara percuma,” katanya.

 

Turut hadir pada majlis ini penyanyi terkenal, Faizal Tahir yang menyeru orang ramai untuk memberi sumbangan demi menjaga kebajikan haiwan kesayangan. - DagangNews.com