Fueltrax meterai 28 kontrak bernilai RM24 juta di Malaysia untuk pacu kemajuan industri maritim | DagangNews Skip to main content

Fueltrax meterai 28 kontrak bernilai RM24 juta di Malaysia untuk pacu kemajuan industri maritim

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Fueltrax, peneraju global dalam teknologi rumusan pengurusan bahan api kapal, menandatangani 28 kontrak bernilai tinggi di Malaysia, yang dianggarkan bernilai sehingga RM24 juta. 

 

Fueltrax memaklumkan, ia merupakan sebuah kejayaan besar bagi Fueltrax di Asia Tenggara, sekali gus mempamerkan komitmen mereka untuk memacu kemajuan dan pertumbuhan ekonomi dalam industri maritim rantau ini.

 

Melalui kontrak itu katanya, 12 pengendali kapal menggunakan Fuelnet, Fueltrax untuk mengintegrasi data operasi marin bersama syarikat O&G Malaysia, yang melibatkan 38 kapal.


 
Katanya, pengintegerasian data ini menggunakan platform berasaskan awan Fuelnet yang menawarkan data dan cerapan masa nyata terhadap penggunaan bahan api, kecekapan serta pematuhan alam sekitar.

 

Pengarah Operasi Fueltrax Asia Tenggara, Faiz Azani berkata, pencapaian itu menunjukkan dedikasi teguh pihaknya dalam memastikan kecekapan operasi, kelestarian dan kemakmuran ekonomi serantau. 

 

"Sebagai jenama pilihan untuk Sistem Pengurusan Minyak Kapal (VFMS) di peringkat global, dengan pengalaman luas mengurus lebih 1,000 kapal, termasuk 38 di Malaysia, kami komited untuk menyediakan peralatan bertaraf dunia, sokongan teknikal yang dipercayai dan penyelesaian kos yang efektif," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Faiz berkata, Fueltrax menyasarkan untuk menyumbang kepada pembangunan Malaysia sebagai hab maritim terkemuka dengan mempromosikan amalan pengurusan bahan api yang telus. 

 

Katanya, ia memberi keyakinan kepada pelabur yang merancang untuk menjalankan perniagaan marin dalam sektor itu kerana Fueltrax mampu meminimakan nilai kerugian dalam kos bahan api dan kesan kepada kos perniagaan mereka.

 

"Kerjasama ini dijangka mewujudkan manfaat ekonomi yang ketara kepada industri maritim Malaysia, termasuk mewujudkan sekurang-kurangnya 100 pekerjaan baharu. 

 

"Kesan positif ini bukan saja kepada syarikat yang terlibat secara langsung dalam kontrak tetapi merentasi rantaian bekalan dan sokongan untuk fungsi berkaitan, meningkatkan lagi pertumbuhan dan kecekapan industri," katanya.


 
Tambah kenyataan itu, pelaksanaan VFMS Fueltrax untuk 38 kapal Malaysia itu dijangka memberi pelbagai manfaat. 

 

Pelaburan tersebut dijangka meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti keseluruhan sebanyak 30%, secara langsung memberi kesan kepada keuntungan pengendali dan syarikat kapal Malaysia. - DagangNews.com