Funding Societies-Foodpanda tambah baik perkhidmatan pembiayaan untuk PKS | DagangNews Skip to main content

Funding Societies-Foodpanda tambah baik perkhidmatan pembiayaan untuk PKS

Funding Societies dan foodpanda telah menyalurkan pembiayaan melebihi RM1 juta kepada PKS sejak pemeteraian kerjasama mereka. - Gambar Scott Graham

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Menjelang sambutan Hari Kebangsaan, Funding Societies dengan kerjasama foodpanda memperkenalkan inisiatif pembiayaan tanpa bayaran balik pinjaman pokok untuk tiga bulan pertama kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

 

Ini bermakna, PKS dibenarkan untuk melanjutkan bayaran balik tanpa kadar pinjaman pokok selama tiga bulan untuk tempoh pembiayaan sehingga 18 bulan.

 

Antara kelebihan lain pembiayaan tersebut adalah pembayaran dalam tempoh dua hari bekerja, kadar faedah yang kompetitif dan dokumentasi minimum untuk memastikan pengalaman pembiayaan yang lancar dan bebas buat PKS.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Funding Societies Malaysia, Wong Kah Meng berkata, sejak pihaknya dan foodpanda memulakan kerjasama pada Mei 2021, mereka telah menyalurkan pembiayaan melebihi RM1 juta kepada PKS.

 

“Kami memahami kesukaran yang sedang dihadapi oleh PKS semasa tempoh pandemik ini.

 

Wong Kah Meng
Wong Kah Meng

 

“Bagi menyuntik semangat kepada komuniti PKS, ini merupakan waktu terbaik untuk melancarkan inisiatif pembiayaan pra lulus kami dengan beberapa sektor ekonomi mula dibuka semula,” katanya dalam satu kenyataan.

 

PKS yang layak untuk memohon pembiayaan tersebut adalah pemilikan tunggal, perkongsian, atau syarikat persendirian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

Selain itu, minimum 30% pemegangan tempatan dan sekurang-kurangnya enam bulan operasi perniagaan turut ditetapkan sebagai kriteria bagi permohonan pembiayaan tersebut.

 

Sayantas Das
Sayantas Das

 

Sementara itu, Pengarah Urusan foodpanda, Sayantas Das berkata: “Sejak pelancaran kerjasama kami dengan Funding Societies Malaysia pada Mei tahun ini, kami berbesar hati kerana dapat menyediakan peluang pembiayaan mikro kepada peniaga untuk memastikan perniagaan mereka berterusan ketika waktu tidak menentu ini.” - DagangNews.com