Funding Societies tingkatkan pembiayaan BizFund untuk sokong PKS | DagangNews Skip to main content

Funding Societies tingkatkan pembiayaan BizFund untuk sokong PKS

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Funding Societies mengumumkan produk terbaharunya, BizFund yang dipertingkatkan bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia yang berkelayakan untuk mencapai potensi ekonomi sepenuhnya selaras dengan pemulihan pasaran ekoran pandemik COVID-19.

 

BizFund, produk pembiayaan berjangka tanpa cagaran menawarkan pembiayaan sehingga RM300,000 kepada PKS tempatan dengan tempoh bayaran balik sehingga 18 bulan. 

 

Proses permohonannya yang mudah, tidak merumitkan dan pantas boleh dilakukan menerusi platform dalam talian Funding Societies. Produk ini ditawarkan untuk PKS yang telah beroperasi sekurang-kurangnya 12 bulan, dengan minimum 30% pegangan saham tempatan oleh rakyat Malaysia. 

 

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, BizFund memenuhi keperluan PKS yang mempunyai pendapatan tahunan RM1 juta ke atas, yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dan perlu mengumpulkan modal segera yang secukupnya bagi menguruskan aliran tunai. 

 

"Mereka boleh memanfaatkan kemudahan pinjaman berjangka tanpa cagaran BizFund, dengan proses penghantaran permohonan yang mudah dengan pembayaran pembiayaan sepantas 7 hari bagi meningkatkan modal untuk menjana operasi dan pelan pengembangan perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Antara cabaran utama yang sering dihadapi PKS dalam mendapatkan kemudahan pembiayaan ialah proses permohonan yang boleh memakan masa yang lama. Proses permohonan juga selalunya rumit kerana melibatkan pelbagai dokumen yang mesti diperakui dan diserahkan secara manual. 

 

Selain itu, kebanyakan permohonan pembiayaan PKS ditolak akibat ketiadaan cagaran yang diperlukan. Ini meletakkan PKS dalam keadaan yang tersepit kerana tanpa pembiayaan yang mencukupi, mereka berdepan dengan masalah kekurangan aliran tunai untuk meneruskan operasi atau mengembangkan perniagaan mereka. 

 

 

funding
Chai Kien Poon

 

 

Tambah Chai, BizFund dibangunkan bagi menangani cabaran-cabaran yang sering dialami oleh PKS dalam mendapatkan pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan mereka. 

 

Katanya, dengan ciri-ciri produk seperti tiada keperluan cagaran serta pembayaran pembiayaan yang pantas, PKS boleh memanfaatkan potensi pemulihan pasaran yang sebaliknya akan terhalang disebabkan oleh kurang modal perniagaan. 

 

"Ekonomi domestik Malaysia diunjurkan akan berkembang di antara 5.3% hingga 6.3%; selepas dua tahun yang serba mencabar ditambah pula dengan kelewatan pembayaran kerana langkah penjimatan para pelanggan dan gangguan rantaian bekalan, akses kepada dana adalah penting untuk PKS mendapatkan manfaat daripada pertumbuhan tersebut serta menyumbang ke arahnya.

 

“Funding Societies, yang sentiasa berpegang teguh kepada misi kami untuk membolehkan pertumbuhan PKS ASEAN menerusi perkhidmatan kewangan digital, akan terus berusaha mengenal pasti lebih peluang khusus bagi memenuhi keperluan PKS di dalam setiap pasaran di mana kami beroperasi,” katanya.

 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai BizFund Funding Societies Malaysia, sila layari https://fundingsocieties.com.my/bizfund. - DagangNews.com