FY21: Genting Malaysia dijangka kekalkan dividen sesaham 14.5 sen | DagangNews Skip to main content

FY21: Genting Malaysia dijangka kekalkan dividen sesaham 14.5 sen

Genting Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 April - Firma penyelidik, CGS-CIMB Research meletakkan tanggapan dan jangkaan terhadap syarikat Genting Malaysia Berhad (GENM) untuk mengekalkan dividen sesaham (DPS) pada kadar 14.5 sen bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, tanggapan itu dinilai kepada situasi dan persekitaran semasa yang masih mencabar.

 

"Kami menjangkakan GENM akan mengekalkan DPS pada 14.5 sen untuk FY21 kerana persekitaran tahun yang masih mencabar.

 

"Bagaimanapun, ia dijangka akan kembali meningkat kepada 20 sen bagi tahun kewangan 2022-2023.

 

"Jumlah itu akan menjadikan hasil dividen adalah sebanyak 4.8% hingga 6.6% mengikut kewajaran profil risikonya," jelas CGS-CIMB Research.

 

CGS-CIMB Research memberitahu, risiko peningkatan syarikat berkenaan dinilai kepada dua faktor iaitu dengan menulis semula nota perjanjian kepada Mashpee dan pemerolehan lesen kasino berskala penuh oleh Resorts World New York City (RWNYC).

 

Dalam nota kajian sama, CGS-CIMB Research mengambil pendekatan untuk mengekalkan saranan 'pegang' saham GENM.

 

Saranan tersebut dibuat bersama harga sasaran sesaham (TP) pada nilai RM3.20.

 

Harga sesaham GENM meningkat 66% sejak mencapai tahap bawah RM1.83 pada 23 Mac 2020.

 

Bagaimanapun, harga saham syarikat berkenaan berada di sekitar tahap sebelum COVID-19 pada Januari 2020 (RM3.02-RM3.36). - DagangNews.com