FY21: Maxis dijangka capai dividen sesaham 17 sen | DagangNews Skip to main content

FY21: Maxis dijangka capai dividen sesaham 17 sen

Maxis Berhad (Maxis)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 April - Syarikat telekomunikasi, Maxis Berhad (Maxis) dijangka mengumumkan kadar dividen sesaham (DPS) sebanyak 17 sen bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan dividen yang agak stabil itu bagaimanapun dijangka terus meningkat kepada 20 sen pada tahun kewangan 2022.

 

"Kami menjangkakan DPS Maxis pada tahun kewangan 2021 sebanyak 17 sen iaitu lebih stabil berbanding tahun sebelumnya dan dijangka kembali meningkat kepada 20 sen pada tahun kewangan 2022.

 

"Kami juga memotong jangkaan perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 3.8% untuk memperoleh kos faedah bersih yang lebih tinggi.

 

"Sementara itu, EPS bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 turut disemak mengikut kesesuaian," jelas CGS-CIMB Research.

 

Bagi laporan kewangan suku pertama 2021, Maxis mencatatkan peningkatan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 2.7% berbanding suku lalu dan 0.5% berbanding tahun sebelumnya.

 

Bagi suku sama, Maxis turut mengumumkan dividen interim sebanyak 4 sen untuk kumpulan tersebut meneruskan pengagihan yang berhemah dalam tempoh mencabar kini.

 

Baca: Maxis catat keuntungan selepas cukai RM334 juta, naik 4.7%

 

Tambah CGS-CIMB Research, jumlah dividen tersebut adalah sedikit rendah berbanding jangkaan pihaknya iaitu 5 sen.

 

"Maxis masih belum menyediakan garis panduan lanjut untuk tahun kewangan 2021 kerana ketidaktentuan ekonomi dan wabak COVID-19.

 

"Bagaimanapun, ia menunjukkan bahawa perbelanjaan modal (capex) bagi tahun kewangan 2021 semestinya terus stabil berbanding tahun sebelumnya," ujar CGS-CIMB Research lagi.

 

Sementara itu, MIDF Research memberitahu, hingga kini, pihaknya tidak membuat sebarang perubahan terhadap anggaran pendapatan Maxis.

 

Menyentuh berkaitan kadar dividen 4 sen yang diumumkan Maxis, MIDF Research berkata, jumlah tersebut sejajar dengan jangkaan pihaknya yang merangkumi 23.5% daripada anggaran dividen tahun kewangan 2021.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' saham Maxis dengan harga sasaran sesaham yang sama iaitu RM4.95," tambah MIDF Research. - DagangNews.com