FY21: Pos Malaysia dijangka rugi RM60.5 juta | DagangNews Skip to main content

FY21: Pos Malaysia dijangka rugi RM60.5 juta

Pos Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 7 April - Syarikat perkhidmatan pos, Pos Malaysia Berhad (POSM) dijangka berdepan kerugian bersih sebanyak RM60.5 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

Kenanga Research berkata, pihaknya turut menjangkakan jumlah keuntungan bersih adalah lebih rendah sebanyak 19% bagi tahun kewangan 2022 (FY22).

 

"Secara keseluruhan, kami membuat semakan terhadap jangkaan pendapatan (POSM) bagi tahun kewangan 2021 kepada rugi bersih RM60.5 juta, berbanding keuntungan bersih RM78.9 juta pada sebelumnya.

 

"Jumlah keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2022 juga dijangka lebih rendah sebanyak 19%," jelas Kenanga Research.

 

POSM mengalami kerugian jangka pendek akibat penutupan sementara pusat pemprosesan bungkusan utamanya pada Oktober dan November 2020 susulan wabak COVID-19.

 

Perkara tersebut memberi kesan kepada kemampuan syarikatnya untuk memenuhi Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) segmen kurier sekali gus menjejaskan keyakinan pelanggan dan jumlah bungkusan.

 

Selain itu, bahagian penerbangan juga terus mengalami kerugian akibat penyusutan pendapatan susulan pembatalan penerbangan dalam tempoh wabak COVID-19.

 

Kenanga Research memberitahu, kumpulan tersebut juga meneruskan usaha untuk menguruskan kos dengan penjimatan berjumlah RM24 juta setiap tahun.

 

"Pelaksanaan semula PKP 2.0 akan menyaksikan peningkatan perbelanjaan dalam talian  dan berkemungkinan memberi kesan positif kepada perniagaan kuriernya.

 

"Jumlah bungkusan dijangka tinggi pada separuh pertama 2021 didorong oleh kempen dalam talian dan jualan CNY," jelas Kenanga Research lagi.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan MP (market perform) dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih rendah bernilai RM0.875. - DagangNews.com