FY21: Sekitar RM40 juta capex untuk pembangunan digital UEM Edgenta | DagangNews Skip to main content

FY21: Sekitar RM40 juta capex untuk pembangunan digital UEM Edgenta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Mac - UEM Edgenta Berhad berhasrat untuk meletakkan kadar perbelanjaan modal atau capex pada tahun kewangan 2021 (FY21) sekitar RM80 juta, iaitu nilai sama yang diperuntukkan semasa FY19.

 

Sekitar separuh daripada jumlah itu atau kira-kira minimum RM40 juta akan digunakan oleh kumpulan syarikat bagi tujuan pembangunan digitalisasinya pada tahun kewangan semasa. 

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, kumpulan syarikat itu mengambil pendekatan serius untuk membangunkan aspek pendigitalan ke dalam platform teknologinya. 

 

“Penyelesaian digital akan menjadi teras baharu kumpulan syarikat dan itu juga sebahagian daripada visi ‘Edgenta of the Future 2025’ (EOFT 2025). Egdenta mahu mendigitalkan perniagaan, beralih daripada kaedah konvensional dari segi pengurusan kemudahan yang berintegrasi ke dalam platform dan perisian, pendekatan untuk menyampaikan perkhidmatan serta kerjasama dengan rakan kongsi. 

 

“Ideanya adalah kami akan membentuk sebuah kumpulan baharu di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Digital (Chua Yong Howe) yang secara asasnya akan mengubah bukan sahaja perniagaan kami, tetapi membentuk semula ekosistem.

 

“Ini akan muncul dalam tempoh beberapa tahun. Pembiayaannya melalui penjimatan kos sehingga RM100 juta. Peruntukan terhadap teknologi ini akan menyaksikan kumpulan syarikat kurang bergantung kepada modal insan, tetapi gabungan tepat kedua-dua modal insan dan digital seperti Internet of Things dan Artificial Intelligence (AI) membolehkan klien menerima nilai terbaik,” katanya pada sidang media secara maya selepas mendedahkan visi jangka panjang UEM Edgenta menerusi (EOFT 2025).

 

Turut serta, Ketua Pegawai Kewangan UEM Edgenta, Hillary Chua dan Ketua Pegawai Perancangan UEM Edgenta, Rais Imran. 

 

UEM Edgenta
SYAHRUNIZAM SAMSUDIN (tengah), diapit oleh Hillary Chua (kiri) dan Rais Imran (kanan) membincangkan aspirasi ‘Edgenta of the Future’ Syarikat serta keputusan kewangan dan rancangan sepanjang tahun ini dalam sesi taklimat kepada media.

 

EOTF 2025 bertindak sebagai aspirasi syarikat pengurusan dan infrastruktur itu untuk menawarkan perkhidmatan penyelesaian teknologi dengan menumpukan sektor penjagaan kesihatan. 

 

Baca : Projek RM12.2 bilion ‘dalam tangan’ UEM Edgenta

 

Menurut Syahrunizam, visi itu digariskan oleh strategi ‘serampang dua mata’ di mana pertama, melindungi dan memelihara kontrak dan kerjasama sedia ada dengan klien berjangka masa panjang serta kedua, menerajui fasa pertumbuhan berikutnya melalui pengembangan produk dan pasaran baharu, selain memperkenalkan model perniagaan dan aliran pendapatan baharu.

 

Untuk rekod, UEM Edgenta mencatatkan hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu bernilai RM2.0 bilion serta keuntungan bersih sebanyak RM64.9 juta, tidak termasuk rosot nilai RM50.0 juta pada separuh pertama FY20, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menyusun semula dan merasionalisasi perniagaan bukan teras.

 

Bagi prospek capex FY21, Chua berkata, kumpulan syarikat itu mengambil kira pemulihan ekonomi selain perspektif perniagaan. 

 

“Bagi capex EOTF 2025, UEM Edgenta masih mahukan mempunyai pertumbuhan dalam syarikat, tetapi dari segi bagaimana kami menguruskan pembiayaan capex, kami akan melihat pada penjimatan yang dijelaskan oleh Syahrunizam. 

 

“Ini di mana kami mahu mengoperasikan dan menjenterakan beberapa perkara dan penjimatan itu sendiri akan membantu perbelanjaan Edgenta bagi masa hadapan,” jelasnya. 

 

Bahagian Perkhidmatan Kesihatan dan Perkhidmatan Infrastruktur UEM Edgenta akan menghasilkan produk penyelesaian teknologi yang ada pada masa ini, termasuk antara lainnya, UETrack dan Road Asset Management System (RAMS).

 

Penawaran teknologi masa depan UEM Edgenta dalam sektor pengurusan kemudahan bersepadu Malaysia (IFM) akan dirancang berdasarkan penyelesaian terbukti yang telah dilaksanakan oleh kumpulan syarikat itu dalam perniagaan Sokongan Penjagaan Kesihatan yang beroperasi di Singapura dan Taiwan. - DagangNews.com