Gagal bentang Belanjawan 2022, risiko terbesar kepada ekonomi  | DagangNews Skip to main content

Gagal bentang Belanjawan 2022, risiko terbesar kepada ekonomi 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pembentangan Belanjawan 2022 dijangka Oktober ini menjadi antara kebimbangan dalam kalangan penganalisis kerana ia boleh memberi risiko terbesar kepada ekonomi negara. 

 

Ini kerana kegagalan membentangkan belanjawan itu akan melambatkan usaha pemulihan ekonomi memandangkan dasar fiskal akan menyokong pertumbuhan, menurut Ketua Ekonomi Maybank Investment Bank (IB) Research, Suhaimi Ilias.

 

Sehubungan itu, beliau menegaskan belanjawan tersebut perlu dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan oleh sidang Parlimen sebelum hujung tahun ini. 

 

Namun, katanya, jika tidak diluluskan disebabkan masa kurang mencukupi, Seksyen 1029(a) Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen meluluskan sebahagian belanjawan ini untuk memastikan kewajipan seperti bayaran pencen dan hutang kerajaan terjaga. 

 

"Belanjawan ini penting kerana kita tidak memiliki sokongan seperti insentif cukai untuk memacu pelaburan dan tidak mungkin mendapat lanjutan terhadap insentif semasa untuk menggalakkan pembelian rumah dan kenderaan. 

 

"Dalam masa sama, tiada perbelanjaan besar atau insentif untuk meningkatkan pelancongan kerana bergantung kepada kemajuan vaksinasi untuk membuka perjalanan domestik," katanya dalam kenyataan hari ini sempena penganjuran webinar bertajuk Invest ASEAN Invitation: ASEAN Macro Outlook & ASEAN Strategy yang dianjurkan Maybank Kim Eng semalam.

 

Maybank Kim Eng
Maybank KIm Eng semalam menganjurkan webinar bertajuk Invest ASEAN Invitation: ASEAN Macro Outlook & ASEAN Strategy.

 

 

Pada masa sama, Suhaimi juga berkata, ketidaktentuan politik semasa juga menimbulkan kebimbangan kepada pelabur kerana ia boleh mencetuskan risiko kepada penurunan ekonomi Malaysia. 

 

"Pelabur kini mengambil sikap tunggu dan lihat sementara menanti Parlimen kembali bersidang pada September ini," tambahnya. 

 

Beliau dalam webinar itu bagaimanapun berkata, pengumuman usul undi percaya di Parlimen pada bulan depan memberi kejelasan kepada pasaran mengenai kedudukan kerajaan.

 

Pada Rabu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menjelaskan kedudukan jawatannya setelah UMNO menyatakan pendirian menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

 

Malah, Muhyiddin turut menjelaskan kedudukannya masih utuh dan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan membentangkan usul undi percaya, menjelang sidang Dewan Rakyat, September ini bagi menentukan keabsahan sebagai Perdana Menteri.

 

Mengenai pasaran ekuiti Malaysia, Ketua Serantau Penyelidikan Ekuiti Maybank Kim Eng, Anand Pathmakanthan berkata, hasil korporat dilihat berdaya tahan meskipun pembukaan semula ekonomi sepenuhnya ekoran langkah sekatan ketika ini semakin berpanjangan.

 

Katanya, kadar vaksinasi yang pantas secara tidak langsung memboleh pelabur kembali memberi fokus kepada ekuiti yang meraih pemulihan pendapatan, di sebalik sokongan fiskal dan monetari yang sederhana, kecairan mencukupi dan harga komoditi kembali pulih ketika memasuki suku keempat 2021.

 

"Oleh itu, kami mengesyorkan kedudukan portfolio yang seimbang, dengan penekanan tinggi pada hasil tunai. Sektor yang menjadi tumpuan kami antaranya, RHB, MISC, Inari, BPlant dan Yinson," katanya. 

 

Menurut beliau, dengan beberapa pendekatan diharapkan oleh pasaran ASEAN pada separuh kedua tahun ini, jurang prestasi antara pasaran berprestasi tinggi seperti Singapuran dan Vietnam berbanding pasaran berprestasi rendah seperti Malaysia dan Filipina, dijangka kekal signifikan.

 

"Dalam mengharungi cabaran ketidaktentuan akibat pandemik ini, kami masih mengunjurkan pemulihan pendapatan di rantau ini pada 2021 pada kadar 20 hingga 30% tahun ke tahun," katanya. 

 

Sementara itu, Suhaimi berkata, pemulihan ekonomi ASEAN akan berkembang pantas seawal 2022 apabila kadar vaksinasi semakin meningkat mencapai nilai ambang dan selamat untuk pembukaan semula ekonomi. 

 

Setakat ini, Malaysia mencatatkan kadar vaksinasi yang lebih baik berbanding beberapa bulan lalu dan berada dalam landasan untuk mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang Oktober berdasarkan kadar vaksinasi semasa lebih 500,000 sehari. - DagangNews.com