Gagasan Nadi dapat kontrak bina rumah RM385 juta | DagangNews Skip to main content

Gagasan Nadi dapat kontrak bina rumah RM385 juta

 

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Gagasan Nadi Cergas Bhd (GNCB) menerusi anak syarikatnya, Nadi Cergas Sdn. Bhd. menerima 2 surat hasrat (LOI) semalam dari Paramount Corporation Bhd. melibatkan kontrak siap guna bernilai RM385 juta.

 

Kontrak itu melibatkan pembinaan rumah mampu milik bertingkat tinggi di Kemuning Utama, Shah Alam dan Greenwoods Salak Perdana, Sepang.

 

Anak syarikat GNCB itu memeterai perjanjian dengan Paramount Property Development Sdn. Bhd. dan Paramount Property (Sepang) Sdn. Bhd., anak syarikat Paramount Corporation.

 

Pengarah Urusan Kumpulan GNCB, Wan Azman Wan Kamal berkata, dengan kontrak baharu itu dapat mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pemain bersepadu dalam sektor berkenaan. 

 

"Kami akan terus berusaha dengan kuat dan menyediakan lebih banyak projek serupa untuk pemaju kerajaan dan swasta," katanya dalam kenyataan.

 

LOI itu dijangka menjadi kontrak menjelang suku ketiga tahun ini.

 

Menerusi kontrak itu, kerja-kerja pembinaan secara fizikal dijadualkan bermula pada suku kedua 2022 untuk 1,076 rumah mampu milik di Greenwoods Salak Perdana dan pada suku keempat tahun yang sama untuk 929 unit di Kemuning Utama.

 

Kerja-kerja pembinaan untuk dua lokasi itu masing-masing akan mengambil masa selama 48 bulan dan 36 bulan.

 

GNCB sebelum ini telah mendapat kontrak Rumah Idaman bernilai RM777 juta daripada Menteri Besar Selangor Diperbadankan pada bulan Julai tahun lalu untuk membina 4,319 unit rumah mampu milik di Bukit Jelutong dan Almina West, Shah Alam.

 

Dengan projek terkini itu, jumlah kontrak kumpulan GNCB untuk tahun ini berjumlah RM482 juta. Syarikat juga mempunyai nilai kontrak tertangguh berjumlah RM1.7 bilion.- DagangNews.com