Gamuda dijangka raih hasil RM400 juta setahun daripada projek Hidroelektrik Ulu Padas | DagangNews Skip to main content

Gamuda dijangka raih hasil RM400 juta setahun daripada projek Hidroelektrik Ulu Padas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Gamuda Bhd menerusi syarikat kerjasamanya dijangka menjana hasil RM400 juta setahun menerusi kontrak pembinaan Loji Hidroelektrik Ulu Padas 187.5MW yang diperoleh daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, projek itu akan dibangunkan oleh Upper Padas Power Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh UPP Holdings Sdn Bhd, yang merupakan usaha sama antara Gamuda, Sabah Energy Corp Sdn Bhd dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd.

 

Gamuda mempunyai 45% kepentingan ekuiti dalam syarikat kersjaama itu, manakala Sabah Energy memiliki 40% dan Kerjaya Kagum Hitech, baki 15%.

 

"Projek itu melibatkan pembinaan empangan yang terletak di daerah Tenom dan Sipitang di Sabah dan akan menyalurkan purata 1,052GWj tenaga bersih setahun.

 

"Apabila siap, projek itu dijangka menjana pendapatan melebihi RM400 juta setahun," katanya.

 

Projek itu dijangka memulakan pembinaan utama pada 2025 selepas UPP menandatangani perjanjian pembelian kuasa selama 40 tahun dengan Sabah Electricity Sdn Bhd.

 

Pembinaan projek itu dijangka siap dalam tempoh enam tahun dengan tarikh operasi komersial (SCOD) dijadualkan pada atau sebelum 31 Disember 2030.

 

Sebagai syarat surat pemberitahuan, UPP akan mencadangkan dan melaksanakan rumusan solar terapung yang disepadukan dengan projek itu yang akan mencapai SCOD sebelum Disember 2031.

 

Gamuda berkata, projek itu akan meningkatkan kapasiti semasa Sabah yang boleh dipercayai sebanyak kira-kira 15% dan menggandakan campuran tenaga boleh diperbaharui (RE) apabila siap.

 

"Projek itu juga selaras dengan strategi dan komitmen ESG jangka panjang Gamuda," katanya.- DagangNews.com