Gamuda sah berunding dengan kerajaan | DagangNews Skip to main content

Gamuda sah berunding dengan kerajaan

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 11 Mei - Gamuda Bhd. mengesahkan sedang berunding dengan kerajaan bagi cadangan melupuskan 4 lebuh raya miliknya kepada dana amanah lebuh raya. 

 

Namun, dalam makluman kepada Bursa Malaysia petang semalam, kumpulan itu menafikan jualan bagi nilai perusahaan adalah berjumlah RM5.2 bilion. 

 

Makluman itu dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan rasmi Bursa Malaysia Securities Berhad berhubung laporan yang diterbitkan The Edge Malaysia hujung minggu lalu. 

 

Dana amanah lebuh raya itu yang dikenali, Amanah Lebuh Raya Sdn. Bhd., akan membiayai pengambialihan itu dengan mengumpul wang daripada pelabur bon dengan jaminan pulangan tahunan antara 4 hingga 5% disokong oleh aliran tunai tol tanpa memerlukan jaminan kerajaan. 

 

Susulan itu, Gamuda mengesahkan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 6 April lalu. 

 

"Kami juga mengesahkan cadangan kepada kerajaan membabitkan jualan konsesi lebuh raya dengan nilai pasaran wajar kepada entiti bebas yang dibiayai oleh pasaran modal persendirian. 

 

"Tetapi, spekulasi mengenai nilai perusahaan sebanyak RM5.2 bilion yang dilaporkan The Edge Weekly pada 8 Mei lalu, adalah tidak tepat," katanya. 

 

Dalam masa sama, syarikat itu turut mengesahkan cadangan tersebut membabitkan kadar semasa tol tidak berubah dengan tempoh konsesi pendek dilanjutkan bagi mengelakkan kerajaan membayar sebarang pampasan (sebagaimana termaktub di dalam perjanjian semasa konsesi) untuk mengekalkan kadar tol seperti sekarang bagi keseluruhan tempoh cadangan.

 

"Berdasarkan cadangan kami, kerajaan tidak perlu mempunyai pegangan atau kepentingan untuk membeli entiti dan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan dalam pengambilalihan ini, dan seterunya, tidak memerlukan jaminan kerajaan," tegas syarikat itu. 

 

Gamuda berkata, akan memaklumkan Bursa Malaysia Securities Berhad sekiranya menerima keputusan muktamad berhubung cadangan ini dan butiran terperinci dari kerajaan. 

 

"Jadi, sehingga itu, kami tidak boleh mengulas lebih lanjut kerana masih berunding dengan pihak kerajaan," jelasnya.

 

Baca : Kalau kerajaan ambil alih 4 lebuh raya, rakyat untung ke?

 

Gamuda memiliki secara langsung 43.2% dalam Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd., mengendalikan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong Smart.

 

Pada 6 April lalu, Fadillah berkata, kerajaan membatalkan perancangan mengambil alih 4 lebuh raya di Lembah Klang daripada Gamuda membabitkan nilai RM6.2 bilion, yang ditawarkan pada 2019.

 

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bebanan yang perlu ditanggung kerajaan untuk melaksanakan pengambilalihan itu.

 

Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan sedang meneliti cadangan terbaharu daripada Gamuda dan syarikat pengendali lebuh raya dalam bandar yang lain, bagi menggantikan penyelesaian jangka panjang membabitkan isu tol. - DagangNews.com