Gantung tugas CFO dilanjut 60 hari - CMS | DagangNews Skip to main content

Gantung tugas CFO dilanjut 60 hari - CMS

 

 

KUALA LUMPUR 3 Jun - Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) memutuskan untuk melanjutkan tempoh penggantungan tugas ketua pegawai kewangannya (CFO), Syed Hizam Alsagoff kepada 60 hari, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Jelas CMS, selepas mengumumkan menggantung tugas CFO selama 30 hari yang dibuat 5 Mei lalu, syarikat melantik KPMG Management & Risk Consulting Sdn Bhd (KPMG MRC) sebagai perunding bebas untuk menjalankan semakan terhadap pengurusan kewangan ke atas beberapa pelaburan dan kontrak. 

 

"Oleh itu, lembaga pengarah hari ini memutuskan untuk melanjutkan tempoh penggantungan ini supaya dapat menampung jangka masa yang diperlukan KPMG MRC untuk melaksanakan tugasnya dan melaporkan kepada lembaga pengarah," katanya. 

 

Baca : CMS gantung tugas CFO selama 30 hari

 

CMS pada 5 Mei lalu berkata, tindakan menggantung tugas tersebut adalah bagi membantu siasatan terhadap dakwaan kemungkinan salah urus kewangan berkaitan operasi dan pelaburan syarikat.

 

Pada 22 April lalu, Timbalan Pengerusi Kumpulan CMS Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib dilaporkan mengambil cuti daripada semua kedudukannya di dalam kumpulan, susulan siasatan terhadap dakwaan wujudnya konflik kepentingan membabitkan diri beliau dengan bekas ketua pegawai maklumat CMS, Karl Vink @ Khalid Abdullah. - DagangNews.com