Gas Malaysia dijangka terus catat perkembangan positif dalam subsektor biometana, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Gas Malaysia dijangka terus catat perkembangan positif dalam subsektor biometana, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - Gas Malaysia Berhad dijangka terus mencatatkan perkembangan positif dalam dalam subsektor biometana dan sektor saluran paip gas domestik. 

 

MIDF Research berkata, perkembangan itu diunjur selara dengan inisiatif kerajaanbagi sumber tenaga mampan dan bahan api lebih bersih menerusi matlamat peralihan tenaganya bagi industri pembuatan dan pada masa sama memenuhi permintaan daripada komersil serta kediaman.

 

"Gas asli juga telah terus dipromosikan sebagai bahan api pilihan menerusi matlamat peralihan tenaga menjadikan Gas Malaysia berada di kedudukan teratas dalam subsektor itu.

 

"Secara keseluruhannya, kami positif terhadap trajektori kumpulan dalam usaha itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Gas Malaysia bakal bina dua loji biometana menjelang 1H24, peruntuk capex sehingga RM20 juta setiap satu

 

Terdahulu, kumpulan itu memperuntukkan kira-kira RM15 juta hingga RM20 juta perbelanjaan modal (capex) bagi pembinaan setiap loji biometana sebagai sebahagian daripada usahanya ke dalam biogas boleh diperbaharui dan sektor tenaga lestari.

 

Gas Malaysia juga  memperuntukkan antara RM1.2 bilion dan RM1.4 bilion dalam belanjawan untuk membina saluran paip gas asli sepanjang 700 kilometer (km) hingga 800km di bawah rangkaiansistem pengagihan gas asli (NGDS) dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Sepanjang 30 tahun penubuhan syarikat itu, Gas Malaysia telah membina lebih 2,800km saluran paip gas asli di bawah rangkaian NGDS, yang berpusat di sekitar Semenanjung Malaysia, berkhidmat kepada lebih 24,000 pelanggan industri, komersial dan kediaman.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebagai sebahagian daripada matlamat kemampanannya, kumpulan itu merancang memasang panel solar atas bumbung di semua premis pejabatnya di Semenanjung Malaysia.

 

Selain itu, syarikat itu merancang menggantikan kira-kira 120 hingga 130 kenderaan petrol dan diesel kepada kenderaan elektrik (EV) menjelang 2032.

 

"Kami tidak membuat perubahan terhadap unjuran pendapatan kumpulan tetapi melihat inisiatif ini secara positif dan percaya ia akan menyumbang secara positif kepada kumpulan pada masa hadapan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga RM4.00 sesaham," katanya. - DagangNews.com