Gelombang ketiga COVID-19: Pelancongan negara rugi lebih RM100 bilion | DagangNews Skip to main content

Gelombang ketiga COVID-19: Pelancongan negara rugi lebih RM100 bilion

Pelancongan negara

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Industri pelancongan negara mengalami kerugian dalam jumlah yang besar akibat penularan gelombang ketiga wabak COVID-19.

 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Nancy Shukri berkata, kerugian yang dialami oleh industri pelancongan negara dijangka lebih daripada RM100 bilion.

 

Nancy Shukri
Nancy Shukri 

 

"Kita menjangka kerugian lebih RM100 bilion untuk pelancongan," beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Noorita Sual (PH-Tenom) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan itu juga, Noorita meminta beliau menyatakan program dan langkah-langkah yang diambil MOTAC untuk membantu meningkatkan sektor pelancongan dan membantu para pengusaha dalam sektor berkenaan.

 

Nancy memberitahu, kerajaan telah mengumumkan beberapa pakej rangsangan ekonomi iaitu Prihatin, Prihatin PKS Tambahan dan Penjaga yang disedia dan dilaksanakan melalui pelbagai agensi-agensi kerajaan.

 

Antara bantuan dan insentif yang boleh dimanfaatkan oleh penggiat industri pelancongan adalah Program Subsidi Upah, pemberian diskaun elektrik kepada sektor pelancongan dan penawaran penangguhan atau moratorium bayaran pinjaman bersasar

 

Bagi peringkat MOTAC sendiri, pihaknya telah dan akan melaksanakan inisiatif khusus seperti berikut;

  • Menawarkan kursus Domestic Tourism Vibes secara dalam talian
  • Pengecualian bayaran fi lesen bagi pengusaha-pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong
  • Pemberian diskaun dan pelanjutan pembayaran kompaun kepada semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong berlesen
  • Membangun dan menyediakan platform online seperti laman www.malaysia.travel bagi membolehkan penggiat industri pelancongan memapar, mempromosi dan menawarkan pakej dan produk pelancongan mereka secara percuma.

 

 

Noorita Sual
Noorita Sual

 

Menyentuh mengenai bantuan kepada penggiat industri seni dan budaya di luar bandar pula, beliau berkongsi lima usaha yang digerakkan oleh agensi MOTAC iaitu Kraftangan Malaysia (Kraftangan)  untuk terus memartabat dan mempromosikan hasil kraf rakyat khususnya di luar bandar.

 

  • Kraftangan hanya mempromosi dan menjual hasil kraf buatan Malaysia sahaja

 

  • Kraftangan telah melaksanakan platform pemasaran secara digital e-Kraf Bazaar. 
  1. Dibangunkan semasa awal pelaksanaan PKP, platform ini telah berjaya menjana jualan kraf tempatan bernilai lebih RM10juta sehingga 30 November 2020 yang lalu. 
  2. Manakala yang terkini, telah dilancarkan MYCRAFTSHOPEE yang berkonsepkan Global Reach Local Identity dalam terus membantu hasil kraf kita mendapat pasaran yang lebih meluas.

 

  • Bagi mereka yang berada di luar bandar yang berhadapan kesukaran akses liputan internet, Kraftangan akan pergi kepada pengusaha-pengusaha ini untuk mengambil produk mereka seterusnya membantu memasarkannya melalui platform digital mahupun di outlet-outlet Kraftangan

 

  • Bagi membantu mereka yang memerlukan panduan dan sokongan untuk menggunakan dan mengambil peluang prospek janaan jualan melalui online, Kraftangan turut memberikan latihan untuk mereka

 

  • Menawar dan memberikan bantuan teknikal kepada penggiat industri untuk enhance produk mereka melalui bengkel dan kursus untuk tujuan tersebut.

 

Tambah beliau lagi, MOTAC akan terus komited untuk membantu industri pelancongan, seni dan budaya tempatan agar semua pihak yang terlibat akan dapat bangkit seterusnya menjana pendapatan bukan sahaja kepada diri mereka semata-mata, malah kepada ekonomi negara. - DagangNews.com