Generali Malaysia tawar biasiswa kepada tujuh pelajar lanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana muda | DagangNews Skip to main content

Generali Malaysia tawar biasiswa kepada tujuh pelajar lanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana muda

Seramai tujuh pelajar menerima biasiswa melalui 'Program Biasiswa Volare Generali Malaysia'.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - Syarikat insurans am, Generali Malaysia menganugerahkan biasiswa kepada tujuh pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda di universiti awam dan swasta tempatan melalui 'Program Biasiswa Volare Generali Malaysia'.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Bhd dan Ketua Negara Entiti Generali Malaysia, Fabrice Benard berkata, pendidikan merupakan suatu alat yang berkuasa mengubah kehidupan dan komuniti. 

 

Beliau berkata, program biasasiwa tersebut berfungsi lebih jauh daripada sekadar memberikan bantuan kewangan. 

 

"Kami juga ingin melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang boleh memanfaatkan masa hadapan mereka dan memberikan impak positif kepada masyarakat. 

 

"Atas sebab inilah kami menawarkan program holistik dengan peluang pembangunan, termasuk jaminan penempatan latihan praktikal dengan Generali Malaysia, di samping projek-projek bimbingan, jaringan serta khidmat masyarakat untuk membantu mereka memperoleh pengalaman dunia sebenar dan membina jaringan profesional mereka," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Setiap calon melalui proses pemilihan dan penilaian ketat yang tertumpu pada ciri-ciri dan nilai istimewa, selain mereka juga aktif dalam aktiviti korikulum selain mempunyai keputusan akademik yang cemerlang. 

 

Dalam mengiktiraf kepelbagaian disiplin dalam industri insurans, calon-calon kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang sains aktuari, IT, perakaunan dan undang-undang. 

 

 

generali

 

 

Dilancarkan pada Jun 2023, Program Biasiswa Volare Generali Malaysia membuktikan komitmen Generali sebagai majikan yang bertanggungjawab dalam menyokong pembangunan modal insan negara melalui pendidikan, memupuk bakat muda, dan mencipta warisan yang mampan untuk industri insurans. 

 

Sebarang maklumat lanjut tentang Program Biasiswa Volare Generali Malaysia, sila lawati https://www.generali.com.my/volare-scholarship-programme. - DagangNews.com