Generasi Z bayar purata sewa rumah RM1,750 sebulan - Kaji selidik Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Generasi Z bayar purata sewa rumah RM1,750 sebulan - Kaji selidik Juwai IQI

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 April - Generasi Z iaitu mereka yang lahir dalam tempoh antara tahun 1995 hingga 2009 (15 hingga 29 tahun) didapati membayar purata sewa kediaman sebanyak RM1,750 sebulan.

 

Menurut Juwai IQI, kaji selidik ke atas 67,000 transaksi sewa tahun lalu bagaimanapun menunjukkan kadar tersebut adalah yang terendah jika dibandingkan dengan bayaran sewa generasi lebih berusia.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, kelompok generasi yang membayar sewa kediaman tertinggi di Malaysia ialah dalam kalangan mereka yang berusia 60 hingga 78 tahun (lahir 1946-1964) dengan purata sewa sebanyak RM2,120 sebulan.

 

iqi
KASHIF ANSARI

 

"Kadar sewa kediaman yang dibayar Generasi Z sesuai dengan generasi muda yang baru memulakan kerjaya dan mungkin belum berkahwin atau mempunyai anak," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Jelas Kashif, Generasi X iaitu merujuk yang mereka yang lahir dari tahun 1965 hingga 1979 pula membayar purata RM2,104 sebulan.

 

"Adalah masuk akal bahawa generasi Baby Boomers (lahir 1946-1964) membayar paling banyak. Mereka berada di puncak pendapatan dan simpanan di samping perlu mempunyai rumah yang besar untuk menampung keluarga," katanya.

 

Bagaimanapun, generasi 60 hingga 78 tahun dan generasi 79 tahun ke atas hanya menyumbang bilangan urus niaga sewa yang agak kecil, masing-masing 3% dan kurang 1% daripada 67,000 traksasi yang diteliti.

 

Menurut Kashif, generasi yang lahir sebelum tahun 1945 iaitu 79 tahun ke atas merupakan pembayar sewa ketiga tertinggi dengan purata sewa RM1,931. 

 

"Generasi Y atau millenial (lahir 1980-1994) ialah kumpulan penyewa yang membayar sewa keempat tertinggi, dengan purata sewa RM 1,862," jelasnya .

 

Sementara itu, kata Kashif, Generasi Y iaitu mereka yang berusia antara 30 hingga 44 tahun membentuk jumlah penyewa terbesar di negara ini

 

Menurut firma teknologi hartanah itu, sebanyak 38% daripada 67,000 transaksi sewa yang diteliti adalah melibatkan generasi tersebut.

 

"Generasi Z pula di kedudukan kedua dengan 31%, diikuti Generasi X pada 13.1%," ujarnya.

 

Jelas Kashif, kadar sewa kini hampir pulih ke tahap 2018  untuk kebanyakan generasi yang menunjukkan 'manfaat' COVID tidak bertahan selama-lamanya.

 

"Walaupun begitu, setiap generasi selain daripada 79 tahun ke atas masih mempunyai purata sewa yang lebih rendah berbanding sebelum wabak, dengan diskaun antara 2% untuk Generasi X hingga 5% untuk kelompok penyewa 60 tahun hingga 78 tahun," katanya.

 

Menurut Kashif, generasi 60-79 tahun membentuk bahagian yang signifikan untuk sewa kediaman atas tanah dengan kira-kira 5%.

 

"Apabila bercakap mengenai pangsapuri, hanya sebahagian kecil daripada transaksi pergi ke Baby Boomers (60-78 tahun) dan Builders (79 tahun ke atas)," katanya.- DagangNews.com