Gentari, Asahi Kasei dan JGC jalankan kajian reka bentuk FEED projek elektrolisis bagi hasilkan hidrogen hijau di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Gentari, Asahi Kasei dan JGC jalankan kajian reka bentuk FEED projek elektrolisis bagi hasilkan hidrogen hijau di Malaysia

Nobuko Uetake (kiri) bertukar dokumen bersama Michele Azalbert (tengah) dan Masahiro Aika (kanan) pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Asahi Kasei, Gentari Hydrogen Sdn. Bhd. dan JGC Holdings.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - Asahi Kasei, Gentari Hydrogen Sdn. Bhd. dan JGC Holdings Corporation (JGC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi kajian reka bentuk kejuruteraan bahagian depan akhir (FEED) bagi projek elektrolisis air alkali kelas 60 MW bagi menghasilkan hidrogen hijau di Malaysia.

 

Selain itu juga, mereka mengumumkan penyiapan kajian kebolehlaksanaan terperinci bagi pengeluaran hidrogen hijau sehingga 8,000 tan setahun.

 

Projek itu disokong Dana Inovasi Hijau untuk Pembangunan Sistem Elektrolisis Air Beralkali Berskala Besar dan Projek Loji Kimia Hijau oleh Pertubuhan Pembangunan Tenaga dan Teknologi Industri (NEDO) Jepun.

 

Berdasarkan kerjasama itu, pihak terlibat sedang sedia untuk kajian FEED dimulakan pada Januari 2024. Operasi itu dijangka bermula pada 2027.

 

Menerusi kerjasama itu, ia akan memajukan penggunaan elektrolisis air kelas 60 MW yang dipasangkan dengan sistem kawalan bersepadu bagi menghasilkan hidrogen hijau.

 

Projek berskala komersial ini menunjukkan komitmen syarikat bagi memupuk pasaran hidrogen hijau dan mewujudkan asas pengeluaran serantau, sejajar dengan misi nayhkarbon yang lebih luas di Jepun, Malaysia, dan Asia Tenggara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar Kanan Projek Penyelesaian Hijau Asahi Kasei, Nobuko Uetake berkata, pengalaman pihaknya daripada eksperimen demonstrasi di Jerman dan menguruskan elektroliser 10 MW di Jepun selama lebih tiga tahun akan memainkan peranan penting dalam kejayaan projek itu.

 

Ketua Pegawai Hidrogen Gentari, Michele Azalbert berkata, kerjasama strategik itu akan meningkatkan nilai untuk semua yang terlibat. Projek itu berdiri sebagai pemangkin bagi memajukan ekonomi hidrogen Malaysia ke arah mencapai sasaran hidrogen hijaunya sebanyak 200,000 tan setahun menjelang 2030.

 

"Selain itu, Gentari sedang membangunkan projek hidrogen dengan entiti negara dan negeri untuk meletakkan Malaysia sebagai hab hidrogen terkemuka di rantau ini, memanfaatkan aset Petronas dan kelebihan strategik negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Kanan, Pegawai Pengkomersialan Teknologi dan Pengurus Besar, Unit Penciptaan Bersama Kelestarian JGC, Masahiro Aika berkata, pihaknya sedang membina kemudahan demonstrasi pengeluaran ammonia bersih bersebelahan dengan elektrolisis Asahi Kasei di Namie-machi, daerah Fukushima, bersama sistem kawalan bersepadu.

 

"Kami berharap dapat menggunakan pengajaran yang diperoleh daripada demonstrasi dan menggunakan hasil teknikalnya ke arah pelaksanaan projek ini di Malaysia,”katanya. - DagangNews.com