KUALA LUMPUR 7 Mei - Apex Securities menyarankan pelabur untuk melanggan Feytech Holdings Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 80 sen pada harga sasaran (TP) RM1.13.
Katanya, penilaian harga kepada pendapatan (P/E) kumpulan itu untuk tahun kewangan 2024 (FY24) diunjurkan pada 14x, berdasarkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) 5.7 sen.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan merupakan pengeluar sarung tempat duduk dan tempat duduk automotif, dengan rekod prestasi yang terbukti selama 21 tahun.
Pendapatan teras Feytech dijangka dirangsang dengan penambahan dua pelanggan baharu dalam segmen tempat duduk automotif, peningkatan kadar penggunaan yang membawa kepada peningkatan dalam purata harga jualan dan margin yang lebih tinggi, selain usaha pemasaran yang agresif yang bertujuan untuk menangkap projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).
ARTIKEL BERKAITAN: Feytech sasar dana RM114.6 juta daripada IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia
"Kami menyukai kumpulan itu kerana kedudukannya yang baik segmen automotif. Dari 2021 hingga 2023, kumpulan itu menjadi pengeluar sarung tempat duduk automotif ketiga terbesar di Malaysia, dengan rekod prestasi lebih 20 tahun.
"Memandangkan prospek yang menjanjikan untuk peningkatan permintaan dalam kedua-dua kenderaan penumpang dan komersial di Malaysia, kami menganggap Feytech akan menjadi antara penerima utama, memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat dan memacu jualan dalam kedua-dua segmen sarung tempat duduk automotif dan tempat duduk automotif," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.
Apex Securities berkata, Feytech telah menerima pelbagai anugerah sebagai bukti kecemerlangan mereka alam pasaran tempat duduk automotif di Malaysia.
Katanya, kumpulan itu juga menerima sijil penghargaan daripada Perodua Sales Sdn Bhd kerana mencapai Pencapaian Tarikh Akhir Penghantaran pada 2018, selain Feytech Singapura diberi penghormatan dengan Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Kecemerlangan PKS 2022/2023 oleh Vision Media Group. - DagangNews.com