Genting Plantations sasar kekal pertumbuhan pengeluaran FFB antara 5% ke 8% | DagangNews Skip to main content

Genting Plantations sasar kekal pertumbuhan pengeluaran FFB antara 5% ke 8%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Feb - Genting Plantations Berhad menyasarkan untuk mengekalkan pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar (FFB) sebanyak 5% hingga 8% untuk FY22 selepas pengeluarannya di Indonesia mencatatkan perkembangan dua digit.

 

Public Investment Bank Research berkata, kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) untuk 2022 dijangka kekal pada RM1,900 bagi setiap tan metrik.

 

Katanya, akibat hujan lebat pada hujung 2021, penggunaan baja hanya sekitar 55% dan kumpulan itu menjangkakan peningkatan harga baja 100% untuk nitrogen dan fosforus akibat gangguan bekalan di peringkat global. 

 

"Pada masa sama, kumpulan itu berjaya menjual 15% MSM yang dihasilkan pada harga melebihi RM4,000 untuk satu tan metrik manakala jualan yang tidak sempat direkodkan berada pada RM49 juta pada penghujung FY21.

 

"Kumpulan itu juga memperuntukkan capex untuk FY22 sebanyak RM500 juta berbanding RM321 juta pada FY21 untuk menampung pembinaan kilang baharu di Indonesia dan aktiviti penanaman semula," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu kumpulan itu mencatatkan peningkatan sebanyak 70% bagi pendapatan FY21 dengan keuntungan bersih 4QFY21 meingkat dua kali ganda kepada RM161.64 juta daripada RM79.04 juta pada 4QFY20.

 

Pendapatan bagi suku itu juga meningkat 45% kepada RM1.07 bilion daripada RM739.25 juta yang disumbang oleh segmen perladangan dan aktiviti pembuatan hiliran dengan harga produk sawit semakin kukuh berbanding tahun lalu.

 

genting

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen bioteknologi mencatatkan kerugian sebanyak RM0.4juta untuk perbelanjaan kajian dan pembangunan (R&D) manakala aktiviti pembuatan hiliran meningkat dua kali ganda kepada RM16.2 juta. 

 

"Sementara itu sumbangan daripada pemilikan bersama Johore Premium Outlet (JPO) dan Genting Premium Outlet (GPO) meningkat kepada 28% kepada RM12.7 juta selepas tiada lagi sekatan di sempadan negeri.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham-saham Genting Plantations dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM9.02 sesaham," katanya. - DagangNews.com