George Kent catat keuntungan selepas cukai sebanyak RM4.64 juta bagi 3Q22 | DagangNews Skip to main content

George Kent catat keuntungan selepas cukai sebanyak RM4.64 juta bagi 3Q22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Feb - George Kent (Malaysia) Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM4.64 juta bagi 3Q22 yang berakhir pada 31 Disember 2021.

 

Bagaimanapun, tiada berbanding pendapatan suku sama tahun lalu dapat dilakukan selepas kumpulan itu menukar tarikh akhir tahun kewangannya dari 31 Januari kepada 31 Mac.

 

Keuntungan yang dicatatkan adalah disumbangkan daripada perniagaan meter air kumpulan itu yang berjaya menyumbang pendapatan keseluruhan sebanyak RM94.66 juta.

 

Bahagian Meter kumpulan itu mencatatkan peningkatan sebanyak 45% berbanding suku sebelumnya kepada RM38.31 juta dan senarai tempahan bagi produk berkenaan juga berada dalam keadaan positif selepas kejayaan mereka mendapatkan kontrak domestik serta antarabangsa.
  

"Walaupun berdepan cabaran kenaikan bahan mentah dan kekurangan pekerja serta gangguan rantaian bekalan global, kumpulan itu berjaya memenuhi tempahan pelanggan selain memperbaiki margin keuntungan mereka mengguna pakai sistem automasi serta penyumberan luar bagi menjimatkan kos.

 

"Bahagian itu juga akan terus meluaskan pasaran pelanggan mereka dengan mencari pasaran baharu bagi meningkatkan jualan produk baharu mereka iaitu meter air berketepatan tinggi kelas D di peringkat domestik dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyatan, hari ini.

 

Pengerusi Geoge Kent Malaysia, Tan Sri Tan Kay Hock berkata, kumpulan itu berjaya merekodkan keputusan yang baik untuk tempoh tiga bulan berakhir 31 Disember 2021 walaupun berdepan situasi turun naik akibat COVID-19 namun permintaan meter air tetap positif.

 

Beliau berkata, keguasaran perniagaan terhadap peningkatan inflasi disebabkan gangguan rantaian bekalan menyebabkan kenaikan kos harga bahan mentah dan Lembaga Pengarah akan terus mencari pendekatan untuk memastikan perniagaan kumpulan terus berdaya saing.

 

"Kumpulan ini akan terus memajukan segmen perniagaan utamanya termasuk kejuruteraan dan pembuatan sarung tangan selaras dengan dasar kemampanan yang memberi fokus kepada proses automasi dalam usaha meningkatkan kecekapan selain menghasilkan produk lebih berkualiti serta konsisten.

 

"Kami juga sedang mencari pemerolehan strategik selain telah mengenal pasti usaha niaga yang sesuai untuk dipertimbangkan dan pengumuman berkaitan akan dibuat selepas kumpulan ini mempunyai perancangan yang lebih kukuh," katanya. - DagangNews.com