GFM perluas aset konsesi menerusi cadangan pembangunan RSA di Hulu Bernam | DagangNews Skip to main content

GFM perluas aset konsesi menerusi cadangan pembangunan RSA di Hulu Bernam

KUALA LUMPUR 17 Jan - Penyedia kemudahan perkhidmatan pengurusan bersepadu, GFM Services Bhd. memperluaskan portfolio aset konsesinya menerusi cadangan pembangunan projek kawasan rehat dan perkhidmatan (RSA) yang kedua di Hulu Bernam, Perak.

 

Untuk itu, syarikat memeterai perjanjian induk (HOA) dengan anak syarikat milik penuh Majuperak Holdings Bhd., Jua Juara Sdn. Bhd. bagi membentuk usaha sama membangunkan, menjalankan operasi dan menyelenggara projek RSA itu yang terletak di Lebuh Raya Utara Selatan, PLUS Malaysia Bhd. 

 

Naib Pengerusi Eksekutif GFM, Ruslan Nordin berkata, ia menandakan penglibatan kedua kumpulan dalam perniagaan RSA selepas di Bemban, Melaka, yang menandakan komitmen GFM untuk mengembangkan perniagaan konsesi. 

 

Katanya, usaha sama tersebut juga sejajar dengan matlamat kumpulan untuk mempercepatkan pertumbuhan menerusi aliran pendapatan berulang.

 

"Kami melihat kedudukan lokasi di Hulu Bernam ini adalah strategik untuk membangunkan RSA, tambahan pula dengan jumlah kenderaan yang melalui lebuh raya, cadangan projek ini dijangka memberi kelegaan kepada kesesakan di kawasan rehat bersebelahan, membolehkan pengalaman yang lebih selesa untuk pengguna Lebuh Raya Utara Selatan. 

 

"Melihat kepada faedah komersial, kami yakin ini adalah langkah yang betul ke hadapan dalam mengekalkan GFM sebagai penyedia penyelesaian pengurusan kemudahan yang utama," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Di bawah perjanjian itu, GFM dan Jua Juara akan memeterai perjanjian muktamad usaha sama (JVA) dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh menandatangani HOA. 

 

Pada masa sama, tanah tersebut akan memasuki proses penukaran daripada tanah pertanian kepada hak milik komersial, yang mana selepas itu, usaha sama itu akan memohon untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia untuk cadangan pembangunan RSA. - DagangNews.com