Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
Krisis COVID-19 telah meletakkan kerajaan hari ini dalam kedudukan yang sukar. Ironiknya, pandemik ini bermula di Malaysia pada ketika kemelut politik mencapai kemuncaknya.
Ketika negara-negara lain awal tahun lalu mula bertindak bagi mengekang wabak ini, politik di Malaysia masih berantakan dan berdepan pertukaran tampuk kepemimpinan.
Kemudiannya perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac 2020 oleh kerajaan yang baru dibentuk tidak sampai sebulan.
Bantuan diberi secara besar-besaran terutama moratorium secara automatik selama 6 bulan demi manfaat rakyat dan perniagaan di negara ini.
Jika kita terlupa, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang melaksanakan langkah ini dan antara terawal di dunia berbanding Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Singapura.
Usaha-usaha yang dilaksanakan kerajaan dilihat berkesan hingga kes mencapai kadar sifar pada 8 Julai 2020 meskipun impaknya kepada ekonomi cukup perit.
Ramai hilang pekerjaan. Kadar pengangguran meningkat mendadak 5% pada April dan terus melonjak kepada 5.3% pada bulan berikutnya.
Bagi tempoh PKP 3 bulan itu, ekonomi suku kedua 2020 merosot 17.1%, terendah direkodkan sejak suku keempat 1998.
Apa yang dilaksanakan kerajaan itu bagi memastikan krisis kesihatan global yang tidak pernah berlaku ini tidak bertukar menjadi krisis ekonomi.
Entah di mana silapnya, gelombang ketiga tercetus selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan, dan perkara ini diakui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Oktober lalu.
Sejak itu, segala usaha yang dibuat kerajaan dilihat semakin lesu apatah lagi pada Oktober juga menyaksikan darurat hampir-hampir dilaksanakan di negara ini.
Kerajaan juga dilihat 'bergelut' untuk memperoleh kelulusan Belanjawan 2021 yang melibatkan peruntukan terbesar berjumlah RM322.5 bilion.
Semuanya berpunca daripada sikap ahli politik yang mementingkan diri. Masih mahu berebut kuasa ketika situasi COVID-19 semakin memburuk di negara ini.
Ketika PKP dilaksanakan kali kedua mulai 13 Januari lalu, pengisytiharan darurat akhirnya diumumkan jua sehingga 1 Ogos 2021.
Serentak dengan itu, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion diumumkan, yang merupakan tambahan kepada 4 pakej rangsangan ekonomi yang sudah dilaksanakan sejak penularan COVID-19 awal tahun lalu.
Hakikatnya, kerajaan bergelut hampir saban hari dalam memenuhi keperluan rakyat, berdepan cabaran politik dan penularan wabak ini yang semakin liar.
Satu-satunya faktor yang dilihat akan menggagalkan usaha memerangi COVID-19 adalah ketidakstabilan politik di negara ini.
Baca : Lebih baik PKP 'separuh masak' atau penuh
Baca : PKP 2.0, darurat 'kejutkan' pasaran pada Januari
Ini dapat dilihat seperti apa yang berlaku pada bulan lalu. Pada 16 Januari, jangkitan COVID-19 di Malaysia melepasi 4,000 dan kemudiannya melebihi 5,000 kes baharu direkodkan 29 Januari lalu.
Selain kes jangkitan COVID-19 mencanak naik hingga mendorong pengumuman PKP sekali lagi dan pengisytiharan darurat yang menyaksikan pasaran tempatan jatuh sehingga 60 mata, situasi politik semasa juga tidak memberangsangkan.
Berdasarkan laporan bulanan Januari oleh CGS-CIMB, dua Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional pada 11 dan 13 Januari.
Kemudiannya, pada 26 Januari pula, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman kepada Perdana Menteri dan kerajaan, meminta pengisytiharan mahkamah bahawa Muhyiddin memberi nasihat tidak sah kepada Agong untuk menggantung Parlimen ketika negara dalam darurat.
Menurut firma penyelidikan itu, setiap 2 minggu PKP akan mengikis 0.7% daripada unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini dan turut melambatkan pemulihan hasil korporat.
Darurat pula dijangka menjejaskan sentimen perniagaan dan pengguna serta menghalang pelaburan langsung asing, sekali gus menyebabkan pulangan dana pelaburan dan sentimen pasaran semakin perlahan, jelasnya.
"Ada keputusan yang diambil menggambarkan seolah-olah memuaskan hati pihak berkepentingan, atau sektor yang mempunyai kepentingan politik," menurut Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid kepada DagangNews.com.
Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Ekonomi Gunaan Asia Pasifik (APAEA) menyifatkan percakaran berterusan ahli-ahli politik, dibezakan oleh parti atau blok gagasan parti juga menambah kegusaran rakyat.
"Harus diakui, percakaran ini, menyebabkan ketidakstabilan politik, dan pelan pengekangan, pemulihan, dan pengukuhan baik krisis ekonomi mahupun krisis kesihatan agak tergencat, tidak lancar dan tersekat-sekat.
"Saya harap, semua pihak dapat duduk semeja, dan mewujudkan kerjasama, mengetepikan perbedaan politik dan mengutamakan rakyat dan negara," tegasnya.
Kerajaan juga harus menilai semula agihan bantuan kerana kadangkala tidak sampai kepada golongan yang disasarkan, disebabkan birokrasi politik, seperti agihan bakul makanan dan bantuan tunai, katanya lagi.
"Malah, pengagihan tidak saksama antara wakil rakyat parti pemerintah dan pembangkang menambah kecelaruan dan ketidakpuasan hati rakyat," ulas beliau.
Dalam pada itu, dari sudut kemampuan kewangan kerajaan, Pakar Ekonomi Kanan dan Ketua Penyelidik Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC), Firdaos Rosli berkata, kerajaan mungkin terpaksa sediakan sokongan fiskal berdasarkan hutang sekali lagi pada 2021 apabila PKP dilanjutkan lagi.
Ini juga bermakna bahawa kerajaan akan menaikkan tahap hutang negara daripada 60% kepada 65%, katanya.
"Buat masa ini, kedudukan fiskal kerajaan masih lagi dalam kawalan walaupun kian lemah disebabkan pandemik COVID-19.
"Kami menjangkakan bahawa kerajaan akan terus menjalankan proses konsolidasi fiskal apabila ekonomi pulih kelak, sepertimana selepas krisis kewangan global pada 2008/2009," jelas beliau.
Pada Selasa, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kedudukan kewangan kerajaan kekal kukuh dan dimanfaatkan dengan baik bagi menangani kejutan COVID-19.
Beliau berkata, Fitch Ratings dalam laporannya baru-baru ini turut bersetuju bahawa sasaran defisit Malaysia iaitu 6% pada 2020 dan 5.4% tahun ini adalah realistik dan boleh dicapai.
PKP 1.0 yang ketat menyaksikan negara mengalami kerugian RM2.4 bilion sehari manakala untuk kali kedua ini, kerajaan hanya mengunjurkan kerugian sekitar RM700 juta dengan pembukaan ekonomi.
Kerajaan juga buat masa ini mengekalkan unjuran KDNK pada 6.5 hingga 7.5% bagi 2021. - DagangNews.com