GK Aqua sasar kumpul dana RM8 juta, jadikan Malaysia negara pengeksport udang galah | DagangNews Skip to main content

GK Aqua sasar kumpul dana RM8 juta, jadikan Malaysia negara pengeksport udang galah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - Syarikat bioteknologi negara, GK Aqua Sdn. Bhd. menyasarkan untuk mengumpul dana sekurang-kurangnya RM2 juta dan maksimum RM8 juta melalui platform Ekuiti Pendanaan Ramai (ECF) tempatan, pitchIN dalam usaha menjadikan Malaysia negara pengeksport udang galah berkualiti tinggi.

 

Dengan misi memperkasakan usahawan tani dengan model perniagaan berskala menggunakan bioteknologi termaju, GK Aqua telah mendaftarkan 20 penternak ke dalam program usaha sama udang galah mereka dengan ladang bersaiz sederhana hingga berskala besar.

 

Pelaksanaan konsep penuaian terurus serta jaminan GK Aqua membeli semula udang yang diternak, ia menjadi pendorong utama kepada penternak untuk terus menceburi projek penternakan udang galah.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GK Aqua, Giva Kuppusamy berkata, pelaburan berkenaan akan digunakan untuk mengembangkan pasaran, usaha penyelidikan serta pembangunan lanjut selain meningkatkan pengeluaran hasil.

 

"Menerusi inovasi bioteknologi, kami dapat menghasilkan hanya postlarva (PL) jantan dan kaedah itu berjaya menghasilkan udang bersaiz tiga kali ganda lebih besar dengan anggaran berat 200 gram setiap ekor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Permintaan untuk udang galah bersaiz besar mencecah RM90 sekilogram dan dalam persekitaran kehidupan biasa, nisbah kehidupan udang jantan dan betina adalah 30:70, dengan berat udang betina sekitar 58 gram berbanding udang jantan seberat 171 gram.

 

udang

 

Pada Ogos 2021, GK Aqua telah mengeksport lebih 200,000 PL ke Mauritius dan Mesir dengan nilai AS$300,000 (RM1.25 juta).

 

udang

 

Pasaran penggunaan udang air tawar global hari ini bernilai AS$7 bilion (RM29.30 bilion) dan di Malaysia sahaja sebanyak 3,000 tan metrik udang galah digunakan setiap tahun. 

 

Bagaimanapun, 90% daripada bekalan tersebut adalah diimport dan ia sangat popular dalam kalangan restoran makanan laut. - DagangNews.com