ISU terkini berkaitan Kapal Tempur Pesisir Pantai (Littoral Combat Ship, LCS) bernilai RM9 bilion yang mengaitkan Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) adalah tidak menghairankan kerana syarikat mempunyai sejarah berlakunya kos berlebihan selain kegagalan penyerahan mengikut jadual.
Pada Januari 2022, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan beberapa individu termasuk seorang ahli perniagaan, seorang pegawai BHIC serta seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat untuk membantu siasatan berhubung projek LCS yang penuh kontroversi.
BHIC seterusnya menyatakan yang mereka akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan pihak berkuasa lain dalam apa jua siasatan berkaitan projek LCS. BHIC adalah anak syarikat 65% milik Boustead Holdings Berhad.
Jelas sekali, BHIC bukanlah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersenarai pertama yang terlibat dalam dakwaan rasuah.
Artikel Berkaitan: Fakta-fakta skandal kapal tempur pesisir pantai LCS untuk anda faham
Pada Jun 2017, bekas presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad iaitu Datuk Zakaria Arshad telah menggesa agensi pencegahan rasuah untuk menyiasat urus niaga syarikat itu.
Ini berikutan arahan pengerusi FGV ketika itu iaitu Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad supaya Zakaria dan Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha mengambil cuti untuk tempoh masa yang tidak ditentukan sementara menunggu siasatan berhubung dakwaan rasuah dalam anak syarikat kumpulan itu iaitu Delima Oil Products Sdn Bhd.
Menurut Isa, juruaudit luar FGV iaitu PricewaterhouseCoopers telah mendedahkan unsur rasuah dalam pembayaran yang diterima daripada sebuah syarikat Afghanistan, Safitex General Trading LLC untuk produk minyak sawit yang dibekalkan oleh Delima Oil. Bagaimanapun, Zakaria menafikan penglibatannya.
Baru-baru ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz telah memberi teguran dan amaran keras kepada kakitangannya berhubung soal rasuah berikutan siasatan yang menyaksikan pemecatan sembilan pegawai syarikat.
Pegawai itu dikatakan terlibat dalam satu skim haram berkaitan kontrak perkhidmatan dan penyelenggaraan di bawah projek subsidiari huluan PETRONAS selain urusan dengan kontraktor lama. Pegawai yang dipecat telah menerima bayaran tunai atau percutian yang dibayar ke lokasi eksotik yang ditanggung oleh para kontraktor PETRONAS.
Jangan lupa peristiwa yang berlaku pada Disember 2020 yang menyaksikan beberapa eksekutif Petronas Carigali Sdn Bhd terbabit dalam saman sivil yang difailkan oleh sebuah anak syarikat firma minyak dan gas huluan, Deleum Bhd.
Saman itu difailkan berhubung skim yang didakwa menipu Petronas Carigali berkaitan beberapa kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatannya dengan Deleum Primera Sdn Bhd, sebuah syarikat 60% milik Deleum.
Indeks Persepsi Rasuah 2021 daripada Transparency International
Kesemua dakwaan rasuah dan kes yang dibuktikan perlu diambil kira dalam konteks penurunan kedudukan Malaysia sebanyak lima anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index, CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International untuk tahun 2021. Malaysia menduduki tangga ke-62 daripada 180 negara dari sudut rasuah dalam sektor awam.
Malaysia memperoleh 48 daripada 100 mata dalam indeks ini, berbanding 51 mata pada tahun 2020. Pada tahun 2020, negara berada di kedudukan ke-57 manakala pada tahun 2019, ia menduduki anak tangga ke-51.
Presiden Transparency International Malaysia, Dr Muhammad Mohan mengaitkan skor yang rendah itu kepada:
• Kejadian politik wang yang berleluasa hatta sewaktu pilihan raya;
• Tiada kemajuan dalam pembaharuan kepada syor SPRM pada tahun 2015;
• Individu berprofil tinggi yang dilepaskan tanpa dibebaskan dalam kes-kes rasuah selain tiada tekanan politik yang berterusan daripada pelbagai pentadbiran untuk memerangi rasuah;
• Pelantikan ahli politik tanpa pengalaman untuk mengetuai GLC serta rang undang-undang perolehan kerajaan yang masih belum dibentangkan di Parlimen (masih tertangguh);
• Perkembangan yang terlalu perlahan untuk pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 selain penemuan negatif dan kegagalan agensi kerajaan seperti yang dilaporkan dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara; dan
• Tiada tindakan diambil terhadap pegawai kerajaan yang menyalahgunakan jawatan mereka.
Lagi campur tangan SPRM
Dalam perkembangan lain, SPRM juga telah menyiasat beberapa GLC berhubung urus niaga yang mencurigakan.
Satu daripadanya ialah pengendali lapangan terbang iaitu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). SPRM telah menyiasat kontrak Saringan dan Ujian COVID-19 MAHB pada Julai 2021.
MAHB memaklumkan bahawa ia telah menerima arahan daripada SPRM untuk memberikan maklumat dan dokumentasi berkaitan kontrak tersebut yang telah dianugerahkan kepada BP Clinical Lab Sdn Bhd (BP Lab). Dilaporkan bahawa 31 syarikat menyatakan minat terhadap tender ini dan 17 syarikat telah mengemukakan dokumen tender.
Menurut MAHB, seramai 40,000 penumpang dijangka menggunakan kemudahan saringan dan ujian baharu itu dalam sehari, dengan kos bagi setiap penumpang antara RM60 hingga RM250 untuk rakyat Malaysia dan RM90 hingga RM350 untuk warga asing.
Ini bermakna kemudahan ujian itu mampu menjana pendapatan antara RM2.4 juta dan RM14 juta setiap hari atau antara RM876 juta dan RM5.11 bilion setahun.
Pada Julai 2019, Telekom Malaysia Bhd (TM) pula diletakkan di bawah pengawasan SPRM kerana ada perkara yang tidak kena dalam pengambilalihan syarikat perkhidmatan wayarles Packet One Networks (M) Sdn Bhd (P1), sebuah anak syarikat milik penuh Green Packet Bhd pada tahun 2014.
Di bawah perjanjian ini, TM memperoleh 57% pegangan dalam penyedia perkhidmatan jalur lebar wayarles itu pada harga RM350 juta dengan tambahan RM210 juta suntikan modal melalui bon boleh tebus yang baru diterbitkan.
Pemerolehan perniagaan berintensif modal pada tahun 2014 itu ternyata memberi impak negatif terhadap prestasi TM apabila penyedia infrastruktur digital dan sambungan nasional itu mencatatkan kerugian suku tahunan pertama dalam tempoh 10 tahun iaitu dalam suku ketiga tahun kewangan 2018, yang menyaksikan peruntukan rosot nilai melonjak kepada RM934 juta termasuk untuk aset-aset berkaitan P1.
Prestasi risiko rasuah yang lemah
Menurut laporan bertajuk “Ketelusan dalam Pelaporan Korporat: Penilaian terhadap 100 Syarikat Awam Tersenarai Teratas Malaysia” yang dikeluarkan oleh Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG) pada November 2019, lapan daripada 10 syarikat awam tersenarai yang mendapat markah terbaik di Malaysia dalam laporan ketelusan korporat ini terdiri daripada GLC.
Dalam laporan ini, markah yang tinggi dicatatkan terhadap aspek amalan pemberi maklumat, komitmen terhadap undang-undang yang berkaitan serta dasar pencegahan rasuah yang diaplikasikan kepada pekerja, pengarah dan pembekal.
Walau bagaimanapun, komitmen syarikat awam tersenarai terhadap penilaian risiko rasuah, dasar berkaitan derma dan penajaan, komunikasi mengenai amalan antirasuah serta pemantauan program masih lemah.
Oleh yang demikian, penguatkuasaan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 1 Jun 2020 amat ditunggu-tunggu atas tiga sebab:
• Penalti iaitu denda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta yang mana lebih tinggi atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali;
• Jika sesebuah organisasi didapati bersalah, orang yang merupakan pengarah, pengawal, pegawai atau rakan kongsi organisasi atau orang yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pengurusan organisasi pada masa kesalahan itu, dianggap telah melakukan kesalahan itu melainkan mereka boleh membuktikan bahawa perbuatan rasuah itu dilakukan tanpa persetujuan mereka atau dilakukan secara muslihat dan dia telah pun melaksanakan usaha-usaha yang wajar untuk mencegah kesalahan itu daripada berlaku; dan
• Jika disabit kesalahan, organisasi komersial berkenaan perlu membuktikan bahawa ia mempunyai prosedur yang mencukupi untuk menghalang individu yang berkaitan dengan organisasi daripada melakukan kesalahan tersebut.
Adakah GLC masih menjadi pelaburan pilihan?
Kita mengharapkan lebih lagi daripada GLC. Sebelum ini, GLC menjadi pelaburan kegemaran dalam kalangan pemegang saham minoriti disebabkan hubungan mereka dengan kerajaan.
Siapa lagi yang boleh dipercayai oleh pemegang saham minoriti jika bukan kerajaan? Sudah tiba masanya untuk GLC kembali bersinar dan meraih semula kepercayaan pemegang saham minoriti sebagai pilihan pelaburan yang boleh dipercayai, tanpa skandal mahupun persepsi sedemikian.
GLC sentiasa berdepan cabaran untuk mengimbangi tanggungjawab mereka kepada kerajaan dengan obligasi mereka kepada pemegang saham. Walaupun sesetengah GLC dapat menguruskan cabaran ini dengan berkesan, GLC yang lain tidak begitu bernasib baik.
Pemegang saham minoriti perlu mengambil kira cabaran ini apabila membuat keputusan pelaburan yang melibatkan pelaburan dalam GLC. - DagangNews.com