Global Systémes Asia-AEROBAY meterai MoU teroka hab digital pembekalan alat ganti, perkhidmatan MRO | DagangNews Skip to main content

Global Systémes Asia-AEROBAY meterai MoU teroka hab digital pembekalan alat ganti, perkhidmatan MRO

AEROBAY

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Global Systémes Asia Sdn Bhd (GSA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat pasaran digital MRO ternama yang berpangkalan di Perancis iaitu AEROBAY.

 

Memorandum persefahaman itu akan membuka peluang untuk menerokai ruang pembangunan hab digital pembekalan alat ganti dan perkhidmatan MRO bagi pengendalian pesawat dan helikopter di rantau Asia Pasifik.

 

Usaha sama tersebut mampu memanfaatkan pasaran pengedaran MRO global bernilai AS$ 750 bilion dan akan meletakkan GSA sebagai syarikat MRO pertama di rantau Asia Pasifik yang menyediakan platform e-Dagang (E-Commerce) bagi alat ganti dan lebihan stok.

 

Pengerusi GSA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata, melalui sinergi tersebut, GSA dan Aerobay akan secara kolaboratif melihat bagaimana untuk memanfaatkan kepakaran masing-masing bagi memajukan pengedaran dan keupayaan MRO dalam alat ganti tempatan merangkumi portfolio sivil (Civil) dan ketenteraan (military) serta kerjasama berterusan dengan pihak kerajaan.

 

Nonee Ashirin Mohd Radzi
Nonee Ashirin Mohd Radzi 

 

"Kolaborasi ini juga akan dapat membuka ruang aliran pendapatan baharu dan perkhidmatan tambahan serta akan bakal menyaksikan GSA memperkuatkan lagi kedudukan kami dalam industri MRO, didorong oleh platform e-Dagang yang mantap.

 

"Rantau Asia Pasifik sedang menyaksikan satu peningkatan dalam penggunaan perkhidmatan profesional melalui platform e-Dagang dan telah pun dikenali sebagai pusat sehenti dalam pembekalan dan pengedaran alat ganti ke pelbagai negara. Digitalisasi adalah kunci perniagaan masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kerjasama tersebut juga akan mewujudkan AEROBAY Asia Pacific (AAP) yang melibatkan kolaborasi dalam bidang kepakaran masing-masing dalam sektor perkhidmatan MRO, e-Dagang dan pengedaran alat ganti dalam talian.

 

.

 

Usaha itu digerakkan bagi menjayakan objektif untuk menjadi hab digital terkemuka rantau ini dalam pembekalan alat ganti dan perkhidmatan MRO bagi pengendalian pesawat dan helikopter.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AEROBAY, Richard HERVE memberitahu, pihaknya sangat teruja untuk memperkukuhkan lagi kedudukannya di rantau Asia-Pasifik melalui hasil usahasama dengan Kumpulan GSA.

 

"Kami sedang mengkaji pelbagai kemungkinan dalam penyediaan perkhidmatan (pengedaran alat ganti dan perkhidmatan MRO), melalui pusat sehenti digital ini," katanya.

 

Melalui usahasama tersebut, AEROBAY Asia Pasifik (AAP) akan mempelopori pelanggan sivil (civil) dan ketenteraan (military) di rantau Asia Pasifik, meliputi Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina, Singapura, China, Thailand, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Australia, New Zealand dan Pakistan. 

 

AAP juga akan memperluas jejak globalnya ke Timur Tengah dan Afrika dalam masa terdekat. - DagangNews.com