Glomac dijangka lancar projek baharu bernilai RM700 juta pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Glomac dijangka lancar projek baharu bernilai RM700 juta pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - Glomac akan meningkatkan aktiviti pembangunan menerusi pelancaran projek baharu bernilai RM700 juta pada FY24.

 

Kumpulan itu berkata, antara projek baharu yang akan dilancarkan adalah penampilan sulung Loop City Puchong iaitu pembangunan kediaman bersepadu Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.57 bilion secara keseluruhan. 

 

"Fasa pertama akan merangkumi pejabat kecil/pejabat rumah (SOHO) dan pangsapuri servis dengan anggaran GDV sebanyak RM338 juta.

 

"Glomac memiliki portfolio yang kukuh serta pembangunan simpanan tanah (landbank) yang  strategik dengan anggaran nilai GDV hampir RM8 bilion," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-39, hari ini.

 

Projek Glomac yang sedia ada di Johor bakal mendapat manfaat kesan pemangkin dari rancangan Kerajaan Negeri Johor bagi meningkatkan aktiviti ekonomi seperti zon kewangan khas di Forest City serta kemungkinan pemulihan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura. 

 

Projek pembangunan perbandaran Sri Saujana dan Saujana Jaya Glomac di Johor mempunyai 96.3 hektar tanah dengan potensi GDV sebanyak hampir RM800 juta.

 

Terdahulu, pada FY23, kumpulan itu mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM50.5 juta dan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik Syarikat (PATAMI) sebanyak RM31.5 juta. 

 

Kumpulan itu berkata, ia dicapai berdasarkan hasil sebanyak RM341 juta, pertumbuhan 31% berbanding RM259.5 juta yang dilaporkan pada FY22. 

 

"Pertumbuhan yang lebih kukuh didorong aktiviti pembinaan berterusan, termasuk fasa pembangunan terkini di perbandaran Saujana Perdana di Sungai Buloh, serta Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences, dua pembangunan kediaman bertingkat tinggi di daerah Petaling Jaya – Damansara," katanya.

 

Glomac mencatatkan jualan yang memberangsangkan dengan lonjakan 89% kepada RM302 juta pada akhir April 2023. 

 

Peningkatan jualan baharu dikaitkan dengan penawaran produk yang kukuh serta dipacu inisiatif jualan yang mendapat sambutan yang memberansangkan.

 

"Penjualan baharu diperolehi melalui projek di kawasan pembangunan yang terbukti kejayaannya seperti kediaman perbandaran Saujana Perdana, Saujana Utama 5, dan Saujana KLIA, serta Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences," katanya.

 

Kedudukan kewangan kumpulan itu terus menunjukkan perkembangan positif dan setakat 30 April 2023, wang tunai serta baki bank terus meningkat kepada RM288.8 juta berbanding RM215.4 juta tahun lepas.  - DagangNews.com