Gloria Jean's Coffees rancang buka lagi 16 cawangan | DagangNews Skip to main content

Gloria Jean's Coffees rancang buka lagi 16 cawangan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mencuba minuman di kafe Gloria Jean’s Coffees (GJC) selepas merasmikan cawangan ke-44 jenama itu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, semalam. 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 25 Mac - Gloria Jean’s Coffees (GJC) telah melahirkan lebih daripada 40 rakan francais menerusi pembukaan cawangannya di seluruh negara.

 

Wonderful Lifestyle Sdn. Bhd. (WLSB) merupakan anak syarikat Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan pemegang francais induk bagi jenama GJC di Malaysia, Brunei dan Myanmar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor berkata, pihaknya telah berjaya memberi bantuan pinjaman kepada usahawan GJC dengan jumlah pinjaman keseluruhan melebihi RM11 juta.

 

Katanya, meskipun negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, pertambahan bilangan usahawan yang berminat untuk membuka kafe GJC terus meningkat. 

 

"Bagi tahun ini, sebenarnya GJC menyasarkan tambahan lagi 16 pembukaan kafe baharu. 

 

"Ini bermakna bantuan modal perniagaan melalui skim pembiayaan yang ditawarkan oleh PNS dapat merancakkan lagi perkembangan industri francais," katanya. 

 

Beliau berkata demikian sempena pembukaan cawangan GJC di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), semalam yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

 

Pembukaan outlet itu adalah yang ketiga milik francaisi, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

 

Setakat ini, GJC mempunyai 9 cawangan di Selangor sahaja. 

 

Jenama GJC telah mula bertapak di Malaysia pada 1999 dan sejak itu, kafe ini diperkenalkan dengan imej dalaman kedai yang berwarna coklat gelap.

 

Kini GJC dalam proses transformasi kafe secara berperingkat bagi memastikan 38 rakan niaga francais mereka berada dalam posisi terbaik untuk melancarkan penampilan dan imej baharu ini. 

 

WLSB memiliki 4 kafe korporat dan selebihnya adalah milik francaisi. - DagangNews.com