Golongan muda digalakkan terap teknologi moden ke dalam sektor agromakanan - PM | DagangNews Skip to main content

Golongan muda digalakkan terap teknologi moden ke dalam sektor agromakanan - PM

Muhyiddin Yassin
 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Golongan muda digalakkan untuk menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan daya saing sektor agromakanan Malaysia menerusi penggunaan teknologi moden Internet benda (IoT), teknologi pendigitalan, teknologi mekanisasi dan automasi. 

 

Ini adalah sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, seiring perkembangan era Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DAN 2.0 akan mentransformasikan sektor agromakanan yang mapan, berdaya saing dan berteknologi tinggi serta dapat memacu pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat. 

 

“Ini dapat melonjakkan sektor agromakanan ke suatu dimensi yang lebih kompetitif, efektif dan berdaya saing dari permulaan aktiviti pengeluaran, lepas tuai, pemborongan, peruncitan serta pengedaran agar sektor ini berkembang lebih pantas dan mampu memberi pulangan lumayan kepada golongan sasar,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

 

Beliau berucap sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2021 yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). 

 

Sebagai rekod, kerajaan juga melaksanakan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang memfokuskan kepada pengeluaran makanan dan input ternakan secara tempatan. 

 

Bagi mempertingkatkan kemapanan dan pertumbuhan industri ternakan, kata Muhyiddin, kerajaan akan menubuhkan Lembaga Ruminan Negara yang akan beroperasi secara berfasa mulai 2022.

 

Penubuhan itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC).

 

"Ketika negara lain menghadapi krisis kekurangan dan terputus bekalan makanan namun Malaysia masih mempunyai stok bekalan makanan yang stabil dan terjamin.  

 

“Kesemua ini adalah hasil komitmen dan usaha berterusan tanpa mengenal penat lelah para peladang, penternak dan nelayan yang pada hakikatnya adalah petugas barisan hadapan atau frontliners kita dalam sektor agromakanan negara,” katanya lagi.

 

Kerajaan juga telah memberi peruntukan besar dan berterusan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sebagai menghargai sumbangan golongan tersebut dalam memastikan bekalan makanan stabil dan terjamin. - DagangNews.com