KUALA LUMPUR 7 Mac - Goodyear Malayia bakal menutup kilangnya di Shah Alam berkuat kuasa 30 Jun ini selepas 52 tahun beroperasi.
Penutupan kilang tersebut dilaporkan turut bakal menjejaskan 550 kakitangannya.
Menurut Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang, penutupan ini sebahagian daripada program transformasi 'Goodyear Forward' yang menyasarkan untuk mengoptimumkan operasi dan meningkatkan nilai pemegang saham.
Dalam memo dalaman yang tersebar meluas itu, Madarang berkata, program ini melibatkan langkah khusus untuk mencapai pengurangan kos tahunan sebanyak AS$1 bilion menjelang 2025, memastikan daya saing Goodyear dan kedudukannya sebagai peneraju industri.
"Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Goodyear telah membuat keputusan yang sukar tetapi perlu untuk menutup kilang pembuatan kami di Shah Alam, Malaysia, berkuat kuasa 30 Jun 2024 dengan penutupan dijangka selesai menjelang akhir tahun," katanya seperti dilaporkan.
Pekeliling itu juga menyebut, seperti mana-mana penutupan fasiliti, pastinya akan ada kesan kepada pelbagai pihak dan dalam kes ini, kira-kira 550 kakitangan dalam operasi di Malaysia akan terjejas.
"Kami komited untuk memastikan pekerja kami dilayan dengan hormat dan ketelusan semasa proses ini," kata Madarang.
Kilang Goodyear di Shah Alam dibuka sejak 1972 dan kehadiran tayar jenama itu di negara ini boleh dijejak seawal 1929.
Goodyear juga menjadi pembekal tayar untuk kereta pertama negara, Proton Saga dalam tahun 1985.
Kilang Goodyear di negara ini turut menerima pengiktirafan ISO 9002 (1992), QS9000 dan ISO14001 (2002), diikuti ISO / TS 16949 (2003).
Usaha dilakukan bagi menghubungi pengurusan Goodyear Malaysia bagi mendapat maklumat lanjut berkenaan laporan penutupan kilang tersebut.
Sementara itu, Goodyear akan terus menjual produk tayarnya di Malaysia biar pun selepas penutupan kilang itu.
"Kami akan terus ada di pasaran Malaysia dengan produk dan penyelesaian utama industri kami dari kilang Goodyear yang lain," kata jurucakap Goodyear seperti dilapor The Edge hari ini. - DagangNews.com