Grab jangka disenaraikan di AS menjelang suku keempat tahun ini | DagangNews Skip to main content

Grab jangka disenaraikan di AS menjelang suku keempat tahun ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Grab Holdings Inc. menjangkakan penyenaraiannya di Amerika Syarikat (AS) sebagai sebuah syarikat awam bakal berlaku pada suku keempat tahun 2021 (2Q21). 

 

Syarikat perkhidmatan e-hailing dan penghantaran makanan itu bersama-sama Altimeter Growth Corp. (AGC) juga telah memfailkan draf penyata pendaftaran bagi Borang F-4 kepada Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti AS (SEC), pada 2 Ogos 2021.

 

“Walaupun penyata pendaftaran itu belum lagi berkuatkuasa dan maklumat yang ada tertakluk kepada perubahan, ia menyediakan maklumat penting mengenai perniagaan dan operasi Grab, cadangan gabungan perniagaan dengan AGC serta cadangan untuk dipertimbangkan oleh pemegang saham AGC,” jelas Grab dalam satu kenyataan mengenai keputusan kewangan syarikat pada 1Q21. 

 

Bagi tempoh berkenaan, Grab menyaksikan kerugian bersih syarikat yang merangkumi item bukan tunai berkaitan faedah terakru bagi saham pilihan yang boleh ditebus dan ditukar Grab serta susut nilai, berkurangan kepada S$652 juta daripada S$771 juta pada 1Q20.

 

Ini selepas nilai pedagang kasar (GMV) syarikat melonjak 5% tahun ke tahun kepada S$3.6 bilion.

 

Menurut Grab, penghantaran GMV mencatatkan pertumbuhan yang ketara sebanyak 49% berbanding tempoh sama pada tahun lalu, sekali gus mengurangkan kelemahan dalam pergerakan akibat perintah berkurung dan sekatan lain yang dikuatkuasakan kerajaan susulan pandemik COVID-19.

 

“Kami gembira dengan perkembangan kami untuk menjadi sebuah syarikat tersenarai awam, di mana dijangka berlaku pada 4Q21. 

 

Anthony Tan
Anthony Tan

 

“Ketika kami bersedia untuk menjadi syarikat tersenarai, kami berkongsikan keputusan kewangan suku tahunan yang pertama dan kami terus mencatatkan pertumbuhan kukuh, walaupun menerima impak COVID-19 yang berterusan. 

 

“Pengguna Asia Tenggara percaya Grab akan memenuhi keperluan mereka setiap hari, yang kian meningkat dan kami teruja melihat peluang pertumbuhan yang kian muncul dalam penghantaran barangan dapur dan penawaran perkhidmatan kewangan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan.

 

Baca : Grab bakal disenarai awam di AS

 

Sekitar April tahun ini, media melaporkan penggabungan Grab dengan syarikat pengambilalihan tujuan khas (SPAC), AGC dijangka meletakkan nilai pasaran syarikat berjumlah AS$39.6 bilion.

 

Grab dilaporkan berhasrat untuk mengembangkan pasarannya lebih AS$180 bilion menjelang 2025 daripada AS$52 bilion pada tahun 2020. - DagangNews.com