Grab perkenal 2 inisiatif bantu 'Local Heroes' sempena Merdeka | DagangNews Skip to main content

Grab perkenal 2 inisiatif bantu 'Local Heroes' sempena Merdeka

Grab

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Grab melancarkan dua inisiatif terbaharunya yang dikenali sebagai Grab ❤ Local Heroes dan Shop Malaysia Online bagi membantu Perusahaan Mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PMPKS) bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan negera.

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh berkata, usaha dan semangat peniaga PMPKS untuk kekal beroperasi melambangkan semangat kemerdekaan yang harus diraikan oleh semua rakyat Malaysia.

"Kami percaya bahawa semua orang mempunyai peranan masing-masing untuk membantu membina semula ekonomi kita melalui perpaduan dan menyokong 'Local Heroes' mereka.

"Untuk memastikan tiada yang ketinggalan, Grab akan berusaha memberi tumpuan kepada peningkatan permintaan terhadap PMPKS melalui pengiklanan di platform Grab sekali gus memudahkan rakyat Malaysia mendapatkan barangan keperluan harian mereka," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Grab
Grab ❤ Local Heroes

 

Pada 15 Ogos hingga 18 September 2020, Grab akan membantu PMPKS menghasilkan bahan pengiklanan di ruangan platformnya melalui peruntukan dana iklan bernilai RM2.5 juta.

Iklan tersebut akan dipamerkan di laman utama pada aplikasi Grab seperti format banner ads yang akan membantu meningkatkan paparan dan promosi di seluruh platform.

Jelas Goh, inisiatif itu juga adalah susulan daripada kempen 'Local Heroes' yang menyaksikan Grab sebagai penanggung kos dan sumber untuk menghasilkan bahan pemasaran sekali gus memanfaatkan 500 peniaga tempatan di seluruh negara.

"Rakan niaga yang telah memperoleh iklan 'banner ads' di laman utama GrabFood telah menyaksikan pulangan perbelanjaan iklan mereka sebanyak 300%.

"Rakan niaga yang telah mengambil bahagian dalam promosi Merdeka pada tahun lepas telah mencatatkan peningkatan jualan mereke sebanyak 4.5 kali ganda berbanding jualan bulan sebelumnya," jelasnya lagi.

Sementara itu, inisiatif PENJANA Shop Malaysia Online pula menggalakkan penyertaan lebih banyak perniagaan ke arah digitalisasi untuk mengekalkan operasi dan membuat urusan bersama pelanggan secara dalam talian.

Grab
Shop Malaysia Online

 

Melalui inisiatif ini, Grab akan memberi tawaran penjimatan sebanyak 50% kepada pengguna bagi keperluan harian mereka di GrabFood, GrabMart dan GrabPay.

Selain itu, Grab dan sokongan kerajaan juga akan menyediakan bonus hingga RM2,000 kepada perniagaan baharu di platfrom tersebut.

"Kesemua usaha pada bulan Merdeka ini adalah komitmen kami untuk menyokong Malaysia sekali gus meraikan petugas barisan hadapan di Grab dengan mewujudkan lebih banyak peluang dan jumlah pendapatan mereka.

"Ini tidak hanya merangkumi rakan kongsi restoren dan peniaga sahaja, tetapi rakan kongsi seperti pemandu dan penghantar makanan kami juga akan menerima pendapatan lebih besar apabila permintaan meningkat," katanya. - DagangNews.com