Green Packet dan 2 firma lagi bergabung mohon lesen perbankan digital | DagangNews Skip to main content

Green Packet dan 2 firma lagi bergabung mohon lesen perbankan digital

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Green Packet Berhad dengan kerjasama Holdings Inc. (ZHI) dan M24 Tawreeq Sdn. Bhd (M24 Tawreeq) bakal menghantar permohonan bagi satu daripada lima lesen perbankan digital yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

Ketiga-tiganya telah memeteraikan gabungan kerjasama atau konsortium pada hari ini, menurut makluman Green Packet di Bursa Malaysia.

 

“Permohonan konsortium ini menumpukan kepada penubuhan Bank Digital Islam, yang akan terdiri daripada beberapa rakan strategik, di mana melengkapkan lagi produk dan perkhidmatan bernilai tambah yang akan ditawarkan oleh konsortium ini,” jelas Green Packet.

 

Konsortium itu menggabungkan kepakaran masing-masing di mana menyaksikan sumbangan oleh Green Packet dari segi penyelesaian teknologi yang merangkumi ekosistem teknologi kewangan (fintech) tanpa tunai, direka buat komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan perbankan sedia ada. 

 

ZHI pula akan membawa kecekapan entiti tersebut dalam memberi nasihat kewangan dan perniagaan di samping pematuhan kawal selia syariah. 

 

Gabungan berkenaan juga bakal merangkumi pemahaman dan pengalaman M24 Tawreeq dalam penawaran patuh syariah yang direka untuk keperluan segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana Mikro yang tidak menerima perkhidmatan perbankan sepatutnya di Malaysia.

 

“Sebuah bank digital Islam dengan pengalaman perbankan digital ditambah baik menerusi penciptaan penyelesaian yang memenuhi keperluan komuniti Malaysia yang berpelbagai, adalah sejajar dengan prinsip perbankan Islam dan misi Green Packet untuk menyediakan setiap individu dengan penyelesaian digital,” jelas syarikat lanjut.

 

Ketika laporan ditulis, harga saham Green Packet menokok 2.08% kepada RM0.245 sen. - DagangNews.com