Green Packet, KNM, Hiap Teck, Serba Dinamik, IOI Corp antara tumpuan | DagangNews Skip to main content

Green Packet, KNM, Hiap Teck, Serba Dinamik, IOI Corp antara tumpuan

 

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Green Packet pagi ini muncul antara kaunter aktif diniagakan dengan dibuka 12.24 peratus lebih tinggi kepada 27.5 sen.

 

Semalam, Green Packet mengumumkan kerjasama dengan Zico Holdings Inc dan M24 Tawreeq Sdn Bhd untuk mengemukakan bidaan mendapatkan lesen bank digital dari Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Sementara itu, saham Serba Dinamik Holdings Sdn. Bhd. dibuka rendah 1.56 peratus kepada 31.5 sen. 

 

Syarikat ini semalam dimaklumkan oleh pihak Bursa Malaysia bahawa sebarang kegagalannya mematuhi arahan
bursa untuk mengadakan semakan semula bebas khas adalah pelanggaran terhadap ketetapan penyenaraian di pasaran itu.

 

Sedania Innovator Bhd pula dibuka tinggi menokok 7 peratus kepada 53.5 sen pagi ini setelah syarikat itu dilaporkan mahu terus memberi tumpuan untuk mengembangkan segmen e-sukan syarikat itu untuk muncul sebagai syarikat unicorn pertama di Malaysia.

 

Turut berada dalam senarai kaunter aktif ialah Hiap Teck Venture Bhd. yang dibuka 4.42 peratus rendah kepada 54 sen selepas laporan kewangan bagi suku ketiganya menyaksikan untung bersih syarikat susut 119 peratus tahun ke tahun.

 

Wajar diperhatikan juga saham KNM Group Bhd. apabila pemegang saham menolak cadangan penempatan persendirian sebanyak 987.52 juta saham baharu atau 30 peratus daripada modal saham terbitan untuk mengumpul RM167.9 juta. 

 

Pagi ini, sahamnya susut 5.41 peratus kepada 17.5 sen. 

 

IOI Corp turut menjadi tumpuan setelah berdepan dakwaan penggunaan buruh paksa oleh CBP AS, Jumaat lalu yang mana penganalisis menyifatkan ia akan memberi sentimen negatif kepada harga sahamnya.

 

Ia menyaksikan saham IOI Corp susut 0.26 peratus kepada RM3.80 dalam dagangan pagi ini. - DagangNews.com