Guan Chong berdepan kenaikan harga koko, gula - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Guan Chong berdepan kenaikan harga koko, gula - RHB Investment

KUALA LUMPUR 6 Jun - Harga biji koko dan gula yang tinggi ketika memberikan cabaran kepada peserta industri coklat seperti Guan Chong Bhd (GCB), menurut RHB Investment.

 

Firma itu berkata, pelanggan cenderung untuk menangguhkan penetapan harga dengan harapan harga kedua-dua komoditi itu akan kembali turun.

 

Katanya, minat untuk membeli dalam pasaran semasa juga lemah akibat harga niaga hadapan yang tinggi. 

 

"Perkara ini mungkin memberi tekanan pada margin jangka dekat, terutamanya untuk syarikat pengisar bersaiz kecil yang tidak menjalankan niaga hadapan atau yang belum mampu memenuhi kapasiti mereka," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sementara itu, RHB berkata, operasi Guan Chong di Ivory Coast melaporkan hasil sulung sebanyak RM144.8 juta pada suku pertama 2023 atau 13% daripada pendapatan kasar kumpulan, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) adalah sebanyak RM15.4 juta.

 

Bagaimanapun katanya, output pengeluaran dijual secara dalaman justeru tiada keuntungan diiktiraf pada tahap gabungan.

 

"Kami difahamkan bahawa jualan eksport daripada loji ini akan bermula daripada suku kedua 2023 dengan kadar penggunaan akan meningkat lagi daripada paras 81% sekarang kerana kapasiti tahun kewangan 2023 sudah habis terjual.

 

 

guan chong

 

 

"GCB memberikan bayangan bahawa margin berkemungkinan menjadi lebih baik berbanding operasi lain di Asia berikutan faktor lokasi yang lebih dekat dengan sumber biji koko, duti import sifar peratus ke Eropah, dan status bebas cukai lima tahun termasuk pengurangan 50% dalam kadar cukai selama lima tahun," katanya. - DagangNews.com