Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Mac - Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had kelayakan gaji maksimum bagi bantuan Elaun Pekerja Cacat daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia susulan daripada golongan orang kurang upaya (OKU) yang bekerja turut terjejas dalam tempoh sukar ini.
"Untuk tujuan ini, sebanyak RM26 juta akan disediakan di mana ia akan memanfaatkan seramai hampir 5,000 OKU.
"Selain itu, bagi membantu program keusahawanan termasuk memasarkan produk bakeri dan hasil tangan oleh OKU dan warga emas, kerajaan bersetuju menambah RM20 juta untuk memperkukuhkan program di bawah institusi seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Golongan OKU juga akan berpeluang untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka dengan SSM secara percuma sebagai galakan menceburi bidang perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) hari ini.
Katanya lagi, Bank Simpanan Nasional (BSN) telah menyediakan sebanyak RM25 juta di bawah Skim Mikrokredit ISTIMEWA bagi golongan OKU menceburi bidang perniagaan.
Had pembiayaan berkenaan adalah sehingga RM50,000 dan kadar faedah serendah 3%. - DagangNews.com