Haier tawar hadiah sehingga RM100,000 menerusi kejohanan badminton Piala Haier mulai 24 Jun 2023 | DagangNews Skip to main content

Haier tawar hadiah sehingga RM100,000 menerusi kejohanan badminton Piala Haier mulai 24 Jun 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Jun - Haier Malaysia mengumumkan pelancaran kejohanan Piala Haier 2023 buat julung kali, yang diinspirasikan menerusi pelantikan duta jenamanya iaitu juara beregu Kejohanan Badminton Dunia BWF 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, baru-baru ini.

 

Pengarah Haier Malaysia, Fan Jing berkata, pihaknya percaya dalam usaha menginspirasikan kehidupan dengan moto jenama mereka, 'Inspired Living'. 

 

Beliau berkata, seiring dengan pelantikan dua duta jenama yang baharu, pihaknya yakin bahawa Piala Haier 2023 akan berjaya merealisasikan hasrat murni tersebut. 

 

"Kami berharap dapat mewujudkan sebuah platform untuk Malaysia mempamerkan minat dan kesungguhan mereka terhadap permainan badminton selain berhasrat memberikan sumbangan bermakna kepada pembangunan sukan badminton yang sangat diminati di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Fan berkata, untuk merancakkan lagi kemeriahan, Yonex Sunrise Malaysia adalah antara penaja hebat bagi Piala Haier 2023, sekali gus mewujudkan sinergi bermakna antara badminton dengan peralatan sukan yang berkualiti. 

 

Katanya, sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Yonex akan menyediakan pelbagai produknya yang hebat bernilai RM38,000 untuk menyokong kejohanan ini. 

 

"Penajaan mereka bukan sahaja membuktikan komitmen terhadap sukan badminton malah memperkukuh dedikasikepada usaha memperkasakan para atlet dengan peralatan sukan yang terbaik," katanya.

 

 

haier

 

 

Dalam pada itu, Piala Haier 2023 akan berlangsung mulai 24 Jun hingga 30 Julai 2023, meliputi tiga buah negeri, termasuk Johor, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur. 

 

Kejohanan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas serta menampilkan empat kategori termasuk perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita, dan beregu wanita. 

 

Yuran pendaftaran adalah sebanyak RM30 setiap orang bagi kategori perseorangan dan RM50 setiap pasangan bagi kategori beregu. 

 

 

haier

 

 

Di samping hadiah wang tunai, barangan Haier dan Yonex, enam daripada juara utama berpeluang menyertai kem badminton di Thailand dari 13 hingga 14 Ogos 2023.

 

Orang ramai yang berminat boleh melayari https://bit.ly/HaierCup2023 untuk mendapatkan maklumat lanjut serta membuat pendaftaran. - DagangNews.com