Hakimah cipta sejarah, wanita pertama terajui JAKIM | DagangNews Skip to main content

Hakimah cipta sejarah, wanita pertama terajui JAKIM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 18 Mac -  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencatat sejarah apabila jawatan Ketua Pengarah baharunya akan diterajui seorang wanita iaitu Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkuat kuasa 21 Mac 2022.

 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pemilihan Hakimah adalah berdasarkan perkhidmatan beliau selama 30 tahun khususnya di agensi berkenaan.

 

"Pelantikan ini menjadi sejarah kepada JAKIM, apabila buat pertama kali diterajui oleh wanita, sekali gus meningkatkan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam.

 

"Semoga dengan pelantikan ini dapat memacu JAKIM ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di peringkat global," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pelantikan Hakimah sebagai Ketua Pengarah JAKIM bagi menggantikan Datuk Abdul Aziz Jusoh yang bersara wajib pada 9 November lalu.

 

Hakimah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) daripada Universiti Malaya pada 1990 dan Ijazah Sarjana daripada Universiti Putra Malaysia pada 2001.

 

Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam bermula sebagai Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM pada 1992.

 

Beliau juga sebelum ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM. - DagangNews.com