Hampir 1.2 juta pelancong China datang ke Malaysia | DagangNews Skip to main content

Hampir 1.2 juta pelancong China datang ke Malaysia

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Malaysia menerima 1,185,050 pelawat dari China setakat Mei 2024, iaitu peningkatan sebanyak 194% berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing.

 

Beliau menyifatkan peningkatan itu disebabkan pelaksanaan urusan perjalanan tanpa visa antara kedua-dua negara.

 

Menurut catatannya dalam Facebook pada Ahad, beliau menggalakkan semua syarikat penerbangan merebut trend itu. 

 

“Syarikat penerbangan harus memperluaskan rangkaian mereka antara Malaysia dan pelbagai negara, bagi menyediakan lebih banyak kemudahan dan memberi pilihan kepada pelancong di seluruh dunia, mewujudkan situasi menang-menang,” ujarnya. 

 

Sementara itu, Tiong turut mengumumkan pelancaran penerbangan terus sulung AirAsia dari Ningbo, China ke Malaysia. 

 


Menurut beliau, penerbangan sebanyak tiga kali seminggu itu akan beroperasi di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu yang dikendalikan menggunakan pesawat Airbus A320, masing-masing menawarkan 180 tempat duduk.

 

Beliau berkata, laluan terus itu akan membantu menarik pelancong ke Malaysia, terutamanya dari wilayah Zhejiang di China.

 

Pada November 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian visa 30 hari bagi pelancong dari China dan India, mulai 1 Disember.

 

Inisiatif itu mendorong China bersetuju melanjutkan pengecualian visa bagi pelancong Malaysia yang melawat selama 15 ke 30 hari, sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu pada 31 Mei tahun ini.- DagangNews.com